KERAJAAN JOHOR UTAMA ISU KOS SARA HIDUP RAKYAT, TANGANI INFLASI SECARA STRATEGIK

Bagi mengurangkan tekanan harga barangan asas, Kerajaan Negeri melaksanakan program Jualan Kasih Johor dan memperkukuh kerjasama Jualan Rahmah bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di seluruh negeri. | Foto Arkib MDJ
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri sentiasa meletakkan komitmen tinggi menerusi pelaksanaan langkah intervensi bersasar bagi mengurangkan kesan inflasi terhadap rakyat selari dengan komitmen untuk memastikan kestabilan ekonomi negeri dan kesejahteraan Bangsa Johor terus terpelihara.
Melalui Belanjawan Johor 2026 dan inisiatif sedia ada, pendekatan yang diambil memberi tumpuan kepada komponen utama kos sara hidup merangkumi makanan, perumahan, pengangkutan dan peningkatan pendapatan rakyat mengikut bidang kuasa Kerajaan Negeri.
Bagi mengurangkan tekanan harga barangan asas, Kerajaan Negeri melaksanakan program Jualan Kasih Johor dan memperkukuh kerjasama Jualan Rahmah bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di seluruh negeri.
Pada masa yang sama, sumbangan tunai bersasar turut disalurkan melalui Bantuan Kasih Johor (BKJ) untuk membantu golongan terkesan selain usaha membangunkan bakat dan kemahiran di bawah Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC).
Kerajaan Negeri turut memperkasa peniaga kecil dan usahawan mikro melalui Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) termasuk penyediaan sokongan pembiayaan serta pengukuhan rantaian bekalan tempatan.
Penyediaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) juga dilaksanakan secara berperingkat dengan sasaran 100,000 unit menjelang 2030, manakala perkhidmatan Bas Muafakat Johor membantu mengurangkan kos mobiliti harian.
Langkah-langkah ini dilaksanakan selari dengan kedudukan inflasi Johor yang kekal sederhana dan terkawal dengan kadar 2.3 peratus pada Disember lalu, berdasarkan data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Johor memiliki asas ekonomi yang kukuh dan dinamik apabila mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi negara pada tahun 2024 iaitu 6.4 peratus serta unjuran pertumbuhan antara 6.0 hingga 6.5 peratus bagi tahun 2025 melepasi purata nasional.
Johor turut kekal sebagai antara negeri peneraju pelaburan dengan jangkaan pelaburan komited melebihi RM102 bilion pada tahun lalu sekali gus mengukuhkan peranan negeri sebagai hab industri, perkhidmatan dan logistik serantau.
Pendekatan berstruktur ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Johor dalam mengurus kesan inflasi secara berfakta dan berperingkat, sambil memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.
#JohorSafeZone
#EkonomiJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



