KERAJAAN NEGERI PEDULI ORANG MUDA JOHOR


Mohammad Aliff A. Rahim, Pemangku Presiden Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) bersama Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor di Johor Youth Meetup Orang Muda Johor.

 

Golongan belia disaran memanfaatkan penganjuran Jelajah Aspirasi Orang Muda Johor ke 10 daerah anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) untuk menyuarakan aspirasi masing-masing sekali gus membuang stigma seolah-olah pandangan dilontarkan tidak didengari.

 

Sejak tahun 2021 hingga 2024, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan signifikan iaitu RM250.1 juta yang diterjemahkan dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi teras Orang Muda Johor (OMJ) untuk dimanfaatkan dan merealisasi aspirasi golongan berkenaan.

 

Bagi tujuan tersebut juga, Mohammad Aliff A. Rahim, Pemangku Presiden MBNJ menyeru orang muda supaya sentiasa cakna dan bergerak seiring dengan Kerajaan Negeri supaya tidak terlepas sebarang peluang keemasan yang telah disediakan termasuk menerusi Jelajah Aspirasi OMJ.

 

MBNJ akan terus bersama Kerajaan Negeri menjayakan agenda pemerkasaan OMJ menerusi siri jelajah tersebut yang kini berbaki empat daerah selepas menyantuni golongan belia dan masyarakat di Pontian, Segamat, Kluang, Johor Bahru, Kota Tinggi dan Mersing.

 

Bagi Aliff, Jelajah Aspirasi OMJ merupakan platform terbaik untuk orang muda menyuarakan hasrat, pandangan serta kritikan membina kepada Kerajaan Negeri yang turut menyerlahkan keterbukaan kepimpinan sedia ada menerima idea dan luahan disampaikan menerusi pendekatan turun padang.

 

Dalam Belanjawan Johor 2024, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.5 juta untuk pelaksanaan program Jelajah Aspirasi OMJ dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi yang meliputi agenda jejak usahawan, karnival kerjaya serta pameran identiti Bangsa Johor bagi membentuk jati diri golongan berkenaan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor