KERAJAAN NEGERI SENTIASA SEDIA BANTU PENDUDUK SEGAMAT

YB Khairin-Nisa Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Dewan Persidangan Bangunan Temenggong Ibrahim, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP). | Foto FB Khairin Nisa Ismail

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor (JKMNJ) sedia memberikan bantuan sewajarnya termasuk menyediakan khidmat sokongan kaunseling kepada penduduk di daerah Segamat yang berdepan dengan beberapa siri insiden gempa bumi lemah yang berlaku di sekitar daerah berkenaan, baru-baru ini.

 

YB Khairin-Nisa Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor memberitahu, langkah ini bagi membantu penduduk berkenaan untuk kembali menjalani kehidupan seperti sediakala selepas berdepan dengan situasi yang mencemaskan akibat kejadian bencana alam di luar norma kebiasaan dan juga tidak dijangka sama sekali.

 

Katanya, selain daripada khidmat sokongan kaunseling, Kerajaan Negeri termasuk JKMNJ juga bersedia menghulurkan beberapa bantuan lain seperti bantuan makanan dan juga kelengkapan lain sekiranya terdapat penduduk memerlukan.

 

Bagi tujuan itu, penduduk yang memerlukan bantuan berkenaan boleh terus menghubungi JKMNJ, JKM Daerah Segamat atau Pejabat Daerah Segamat bagi membolehkan bantuan sokongan ini akan dapat dilakukan pada kadar yang segera demi kesejahteraan dan kebajikan masyarakat berkenaan.

 

Terdahulu beliau ditemui Media Digital Johor selepas menghadiri Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Dewan Persidangan Bangunan Temenggong Ibrahim, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

 

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, YB Khairin-Nisa memberitahu pihaknya akan berkerjasama rapat dengan pihak Pejabat Daerah Segamat dan pimpinan tempatan seperti penghulu dan ketua kampung bagi memastikan semua maklumat berkaitan inisiatif Kerajaan Negeri mengenai kejadian gempa bumi akan dapat disebar luas kepada seluruh anggota masyarakat supaya kebajikan mereka sentiasa terjaga tanpa ada yang terkecuali.

 

#JohorSafeZone
#GempaJohor
#Pray4Johor
#GempaBumi
#GempaSegamat
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor