KERJA PEMBAIKAN JAMBATAN PASIR GUDANG–PERLING DIPERCEPAT

YBhg. Dato’ Seri Azman Ibrahim, Ketua Setiausaha KKR telah mengadakan lawatan tapak ke lokasi berkenaan bagi menilai sendiri tahap kerosakan dan memastikan perancangan pembaikan dilaksanakan secara berfasa, tersusun dan berkesan. | Foto Kementerian Kerja Raya (KKR)

 

#IskandarPuteri – Kaedah pembaikan melalui pengukuhan rasuk jambatan menggunakan Polimer Bertetulang Gentian Karbon (CFRP) dikenal pasti sebagai pendekatan utama bagi kerja-kerja pembaikan Jambatan Jalan Persekutuan Lebuhraya Pasir Gudang FT17 Seksyen 2.0 susulan kerosakan struktur akibat pelanggaran lori membawa muatan melebihi had ketinggian jambatan.

 

Pemilihan kaedah berteknologi tinggi ini akan membolehkan tempoh pembaikan dipendekkan daripada 12 bulan kepada sekitar tujuh bulan selain mengelakkan keperluan penutupan penuh Jalan Johor Bahru-Seremban FT0001 dan Lebuhraya Pasir Gudang FT17 serta meminimumkan gangguan trafik di laluan berimpak tinggi berkenaan.

 

Penggunaan kaedah CFRP bertujuan meningkatkan kekuatan struktur rasuk jambatan sedia ada dengan tahap keselamatan yang lebih tinggi selaras dengan spesifikasi teknikal dan piawaian keselamatan ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

 

Kementerian Kerja Raya (KKR) sebelum ini meluluskan peruntukan berjumlah RM8.4 juta bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan jambatan berkenaan dengan pemantauan rapi akan terus dilaksanakan sepanjang tempoh kerja berjalan.

 

Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan kerja, penglibatan dan komunikasi berterusan akan dilaksanakan bersama Kerajaan Negeri Johor, pemimpin tempatan, pemain industri, syarikat pengangkutan dan logistik serta pengguna jalan raya melalui pelbagai platform pemakluman bagi memastikan hebahan kerja pembaikan disampaikan dengan jelas dan berkesan.

 

Kerja pembaikan ini bakal dimulakan selepas notis pemakluman rasmi disalurkan kepada penduduk setempat menerusi Pejabat Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor selaras dengan pengurusan trafik serta langkah-langkah keselamatan yang telah ditetapkan.

 

Terdahulu, YBhg. Dato’ Seri Azman Ibrahim, Ketua Setiausaha KKR telah mengadakan lawatan tapak ke lokasi berkenaan bagi menilai sendiri tahap kerosakan dan memastikan perancangan pembaikan dilaksanakan secara berfasa, tersusun dan berkesan.

 

Turut hadir, YBrs. Ir. Mohd Shahrom Ahmad Saman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infrastruktur) JKR; YBrs. Ir. Mohd Nasir Bontat, Pengarah Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ) JKR; YBrs. Ir. Zainal Tumian, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Johor serta YM Ir. Raja Fairol Farouk Raja Abd Assiss, Jurutera Daerah Johor Bahru.

 

#JohorSafeZone
#JKRJohor
#LebuhrayaPasirGudang
#InterchangePerling
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor