KERJASAMA JOHOR-SAITAMA PACU AGENDA KELESTARIAN DAN RENDAH KARBON

YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Pengerusi Eksekutif Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) di Singapura yang juga Pengerusi JSC meraikan TYT Hayato Shimizu, Datuk Bandar Saitama, Jepun, bersama delegasi sempena lawatan kerja ke Johor di Forest City Golf Hotel. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#IskandarPuteri – Pusat Kelestarian Johor (JSC) berhasrat mencadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk membangunkan pusat pembelajaran berkonsepkan rendah karbon di Hutan Bandar Johor Bahru melibatkan kerjasama strategik dengan bandar raya Saitama, Jepun.
Cadangan yang memacu pembangunan hab rendah karbon menampilkan elemen mesra alam dan teknologi hijau itu berdasarkan potensi kawasan rekreasi awam di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) tersebut untuk menjadi mercu tanda baharu kelestarian di negeri ini.
Dikenali sebagai Saitama-Johor Learning Center, Hutan Bandar Johor Bahru bakal menjadi lokasi rujukan dalam aspek kelestarian melalui pengenalan teknologi hijau, pemuliharaan biodiversiti, ruang pembelajaran komuniti dan penyelesaian inovatif pengurangan pelepasan karbon.
Sementara itu, delegasi dari Saitama turut menzahirkan komitmen jalinan kerjasama dengan JSC dalam aspek pemindahan teknologi (ToT), pembangunan modal insan dan tenaga kerja mahir serta berkongsi inisiatif berkaitan agenda hijau secara holistik dan inklusif.
Terdahulu, YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Pengerusi Eksekutif Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) di Singapura yang juga Pengerusi JSC meraikan TYT Hayato Shimizu, Datuk Bandar Saitama, Jepun, bersama delegasi sempena lawatan kerja ke Johor di Forest City Golf Hotel, hari ini.
Hadir sama, YBhg. Tuan Haji Ahmad Nazir Mohd Nasir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Pembangunan); YBhg. Tuan Haji Natazha Hariss, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor dan YBhg. Encik Saifuddin Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif JETCO.
#JohorSustainabilityCentre
#JohorGreenDeal
#AgendaKelestarian
#JETCO
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor