KLUANG KE KUALA LUMPUR DENGAN ETS3 BERMULA 30 OGOS INI

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan Peluncuran Khas Tren ETS3 bagi laluan selatan di Stesen Keretapi Kluang. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#Kluang – Rakyat Johor terutama warga Kluang tidak lama lagi boleh menikmati pilihan perjalanan pengangkutan awam menggunakan keretapi dengan lebih selesa ke ibu negara apabila Perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS3) mula beroperasi pada 30 Ogos ini.

 

ETS3 berteknologi moden yang mampu beroperasi pada kelajuan sehingga 140 kilometer sejam (km/j) itu menjadikannya tren penumpang elektrik terpantas di negara pada ketika ini, dengan reka bentuk aerodinamik di samping sistem keselamatan bertaraf antarabangsa serta ciri keselesaan moden.

 

Perkhidmatan pengangkutan tren berkenaan diyakini dapat meningkatkan pengalaman perjalanan rakyat sekali gus mengukuhkan jaringan mobiliti rel di Semenanjung Malaysia khususnya laluan ke selatan tanah air termasuk Kluang hingga ke Johor Bahru secara berperingkat pada Disember tahun ini.

 

Terdahulu, KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan Peluncuran Khas Tren ETS3 bagi laluan selatan dengan memandu uji sendiri kereta api tersebut dari Stesen Keretapi Kuala Lumpur ke Stesen Keretapi Kluang, hari ini.

 

Keberangkatan tiba KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Stesen Keretapi Kluang kira-kira jam 11:15 pagi disambut YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dan YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.

 

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut berkenan merasmikan Laman Rel Mahkota, taman awam ikonik sepanjang 2.8 kilometer dibangunkan di bawah jajaran viaduct Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru yang bakal menjadi daya tarikan riadah baharu dan mercu tanda di Kluang.

 

Fasiliti rekreasi mencerminkan kerjasama erat Kerajaan Negeri dan Persekutuan itu dilengkapi dengan laluan senaman, kawasan berhimpun, kiosk jualan, taman permainan dan pelbagai kemudahan lain yang boleh dimanfaatkan penduduk setempat termasuk pelancong.

 

#ETS
#ETSJohorKL
#Keretapi
#KTMBerhad
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor