KURNIAAN DYAM PEMANGKU SULTAN JOHOR RINGANKAN BEBAN RAKYAT

YBhg. Encik Fizwan Dato’ Mohd Rashidi, Pegawai Daerah Kulai telah menyampaikan kurniaan Baginda Tunku kepada beberapa keluarga di Mukim Bukit Batu. | Foto Pejabat Daerah Kulai

 

#IskandarPuteri – Keprihatinan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor terhadap kebajikan rakyat terus dizahirkan menerusi penyampaian kurniaan kepada keluarga yang memerlukan di seluruh negeri ini bagi bulan Februari Fasa 2 dan Fasa 3 tahun 2026.

 

Kurniaan berkenaan telah disampaikan melalui Pejabat-Pejabat Daerah kepada penerima yang terdiri golongan asnaf, keluarga kurang berkemampuan, pesakit kronik, orang kurang upaya (OKU), warga emas serta individu yang berdepan kesulitan hidup di beberapa daerah antaranya Kulai, Pontian, Batu Pahat, Muar, Tangkak, Segamat, Kluang dan Kota Tinggi.

 

Di Kulai, YBhg. Encik Fizwan Dato’ Mohd Rashidi, Pegawai Daerah Kulai telah menyampaikan kurniaan Baginda Tunku kepada beberapa keluarga di Mukim Bukit Batu, manakala di Pontian, YBhg Tuan Haji Kamalludin Jamal, Pegawai Daerah Pontian turut menyantuni penerima di Mukim Serkat dan Mukim Benut menerusi program ziarah kasih berkenaan.

 

Program seumpama ini turut dilaksanakan di Batu Pahat menerusi Program Ziarah Prihatin yang disempurnakan oleh YBhg. Encik Mohd Farid Kassim, Pegawai Daerah Batu Pahat di Mukim Tanjung Sembrong, selain penyerahan kepada penerima di Mukim Sungai Terap dan Sungai Raya di Daerah Muar oleh YBrs. Encik Muhammad Ismat Salleh, Penolong Pegawai Daerah Muar.

 

Sementara itu, YM Puan Ungku Suzana Ungku Mohammad, Pegawai Daerah Tangkak, telah menyerahkan kurniaan daripada DYAM Pemangku Sultan Johor kepada penerima di Mukim Kundang, manakala di Segamat, penyampaian sumbangan kepada keluarga di Mukim Buloh Kasap pula disempurnakan oleh YBrs. Encik Muhammad Hafizuddin bin Abd Jalal, Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Masyarakat).

 

Kurniaan sama turut disampaikan di daerah Kluang oleh YBhg. Puan Hajah Azurawati Wahid, Pegawai Daerah Kluang kepada beberapa keluarga di Mukim Kluang, sementara di Kota Tinggi pula, kurniaan berkenaan telah diserahkan oleh YBrs. Encik Mohd Fikri Yusoff, Penolong Pegawai Daerah melibatkan penerima dari Mukim Kota Tinggi, dengan sebahagian penerima turut menerima bantuan barangan keperluan harian dari Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

 

Kurniaan berterusan ini mencerminkan kasih sayang serta keprihatinan DYAM Tunku Mahkota Ismail terhadap kesejahteraan rakyat, khususnya membabitkan golongan yang memerlukan agar mereka terus dibela dan tidak terpinggir dalam arus pembangunan negeri.

 

Penerima kurniaan serta masyarakat setempat turut menjunjung kasih atas keprihatinan DYAM Pemangku Sultan Johor dan mendoakan agar baginda sentiasa dikurniakan kesejahteraan serta dipelihara oleh Allah SWT dalam memayungi Bangsa Johor.

 

#JohorSafeZone
#InstitusiDirajaJohor
#RajaDanRakyatBerpisahTiada
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor