LEBIH 150 PELABUR GLOBAL TEROKA PELUANG DI JOHOR MELALUI JS-SEZ

Johor kukuh sebagai destinasi pelaburan utama serantau dengan minat lebih 150 pelabur global melalui inisiatif JS-SEZ. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Johor mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama serantau apabila lebih 150 pelabur global menyatakan minat meneroka peluang pelaburan bernilai tinggi menerusi inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

 

Perkembangan ini dizahirkan melalui sesi libat urus strategik yang kini sedang berlangsung di Shanghai, China, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan komuniti pelabur antarabangsa terhadap prospek ekonomi Johor yang semakin berkembang pesat.

 

Dalam sesi bersama China Construction Bank (CCB), hampir 20 syarikat pelabur daripada sektor berimpak tinggi seperti bioteknologi, pembuatan, digital, tenaga dan aeroangkasa telah dihimpunkan bagi menilai potensi kerjasama serta peluang pelaburan di negeri ini.

 

Pendekatan Kerajaan Johor yang sentiasa memberi tumpuan kepada pelaburan berkualiti diterjemah melalui usaha menarik kemasukan industri bernilai tinggi yang berupaya menjana peluang pekerjaan berpendapatan premium serta mempercepatkan pemindahan teknologi dan memperkukuh daya saing ekonomi negeri.

 

Sebagai antara institusi kewangan terbesar dunia dengan lebih 13,000 cawangan di seluruh China, CCB memainkan peranan penting dalam ekosistem kewangan global, khususnya dalam pembiayaan projek berskala besar yang mampu memberi impak signifikan kepada pembangunan ekonomi.

 

Dalam landskap ekonomi global yang semakin mencabar akibat ketidaktentuan geopolitik, minat berterusan pelabur antarabangsa ini membuktikan Johor tetap kekal sebagai destinasi pelaburan yang diyakini serta berdaya saing di peringkat serantau dan global.

 

Malah, kedudukan strategik Johor melalui JS-SEZ turut membuka ruang kepada pelabur menjadikan negeri ini sebagai pintu masuk utama ke pasaran ASEAN, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi dan memperluas limpahan manfaat kepada Bangsa Johor.

 

Usaha berterusan ini dijangka akan terus memperkukuh kedudukan Johor dalam rantaian ekonomi global, di samping membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti tinggi serta memastikan pembangunan yang lebih inklusif dan mampan untuk rakyat di negeri ini.

 

#JohorSafeZone
#JohorHomeOfChampions
#JSSEZ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor