LEBIH 21,000 MANFAATKAN INISIATIF UMP

Foto arkib MDJ.
#IskandarPuteri – Mudah, cepat, fleksibel dan percuma. Itu antara kata kunci keberkesanan inisiatif ubat melalui pos (UMP) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bukan sahaja membantu pesakit untuk mendapatkan bekalan ubatan secara berjadual tetapi juga membantu fasiliti kesihatan di negeri ini untuk beroperasi secara optimum.
Bermula dengan hanya kira-kira 6,000 pesakit, kini dengan beberapa inisiatif tambahan seperti kos pengeposan ubatan yang ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri telah berjaya memberi manfaat kepada lebih 21,000 pesakit di Johor khususnya golongan ‘pesakit rutin’ yang memerlukan bekalan ubatan secara berjadual.
YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, memberitahu lonjakan penerima manfaat ini adalah hasil daripada kerja keras yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam memperkasakan sektor penjagaan kesihatan di negeri ini, selain inisiatif UMP ini juga banyak membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh pesakit, khususnya mereka yang terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Ujarnya, inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada pesakit kerana tidak perlu lagi mengeluarkan kos yang tinggi seperti pengangkutan tetapi ia juga secara tidak langsung turut membantu mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan utama seperti Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI).
Ia sekali gus dapat membantu mengurangkan bebanan tugas yang dihadapi oleh petugas kesihatan di negeri ini khususnya di HSA dan HSI yang sememangnya menjadi antara hospital awam tersibuk di negara ini. Inisiatif ini secara tidak langsung membolehkan petugas kesihatan memberikan tumpuan kepada kes-kes perubatan yang lebih kritikal serta memerlukan penjagaan yang khusus.
Selain itu, sejak inisiatif UMP ini dilaksanakan, pesakit daerah Johor Bahru muncul sebagai daerah tertinggi di Johor menggunakan perkhidmatan bantuan kesihatan awam berkenaan iaitu pada kadar 70 peratus, diikuti oleh daerah Kulai dan Batu Pahat.
YB Tuan Ling Tian Soon memberitahu, berikutan sambutan orang ramai khususnya daripada golongan pesakit itu sendiri, Kerajaan Negeri akan terus melakukan hebahan supaya segala usaha yang dilaksanakan ini mampu memberi manfaat kepada golongan sasaran, sekali gus berupaya mewujudkan Bangsa Johor yang lebih sihat dan sejahtera.
#JohorSafeZone
#UbatMelaluiPos
#UMP
#InisiatifPerubatanJohor
#PerubatanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor