LEBIH 80 PERATUS KATIL HSA SUDAH DIGANTI

Sebanyak 830 katil baharu telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru sebagai usaha memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negeri. | Foto FB AH SOON

 

#IskandarPuteri – Lebih 1,000 katil berjaya dikumpulkan untuk Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dengan 830 daripadanya bersamaan lebih 80 peratus sudah dihantar bagi menggantikan katil lama yang mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri memperkukuh sistem penjagaan kesihatan Johor.

 

Kejayaan mengumpulkan katil berkenaan yang melepasi sasaran asal iaitu 969 buah merupakan hasil daripada penyelarasan Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor dengan sokongan padu daripada syarikat, pertubuhan kebajikan dan orang ramai.

 

Inisiatif murni tersebut amat dihargai oleh petugas kesihatan di HSA yang memaklumkan keadaan wad dan operasi kerja kini jauh lebih baik dan mudah selepas buat kali pertama hospital itu menerima penggantian katil secara besar-besaran serta turut dinikmati manfaatnya oleh pesakit dan pelawat.

 

Selain itu, wad di tingkat lima bangunan induk HSA juga telah siap dinaik taraf sepenuhnya dengan keadaan yang kondusif dan dilengkapi sistem pendawaian elektrik dan bekalan oksigen baharu serta dijadualkan untuk diserahkan oleh kontraktor kepada pihak hospital pada 28 September ini.

 

Dalam perkembangan sama, kerja naik taraf kawasan menunggu di unit kecemasan HSA yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri bernilai RM155,000 sudah mencapai kemajuan 50 peratus setakat ini dan dijangka siap pada awal November depan.

 

Terdahulu, YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor mengadakan lawatan ke HSA Johor Bahru bagi meninjau pelaksanaan beberapa langkah penambahbaikan serta keadaan semasa di hospital tersebut.

 

#JohorSafeZone
#HSAJB
#SistemKesihatanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor