LEBUHRAYA WCE BAKAL KURANGKAN KESESAKAN TRAFIK DI JOHOR

Pembinaan WCE Selatan dijangka siap dalam tempoh 48 bulan selepas dimuktamadkan, sekali gus memberikan manfaat jangka panjang dari segi kelancaran trafik, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Johor. | Infografik MDJ
#IskandarPuteri – Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dijangka menjadi antara projek infrastruktur utama yang bakal memberi impak signifikan terhadap kelancaran aliran trafik serta pembangunan ekonomi di Negeri Johor.
Lebuh raya WCE ini akan melengkapkan rangkaian laluan pengangkutan darat yang menghubungkan Banting di Selangor dengan Lebuh raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) di Gelang Patah, Johor yang akan turut merentasi beberapa kawasan di Negeri Sembilan dan Melaka.
Bagi jajaran di Johor, lebuh raya sepanjang 153.3 kilometer ini akan berfungsi sebagai laluan alternatif yang lebih pantas dan efisien, sekali gus menjadi penyelesaian strategik kepada kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), khususnya ketika musim perayaan, hari kelepasan am dan cuti sekolah.
Projek WCE dianggarkan mampu menyuraikan kira-kira 27 peratus trafik, bersamaan sekitar 35,000 kenderaan sehari yang keluar dan masuk ke Johor melalui Lebuhraya PLUS, sekali gus memberi manfaat langsung kepada pengguna jalan raya khususnya ke kawasan pantai barat Johor seperti Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian.
Seiring pembangunan infrastruktur, pembinaan lebuh raya ini juga dijangka mampu merancakkan pembangunan setempat apabila sebanyak 13 persimpangan dicadangkan, antaranya di Sungai Terap (Muar), Parit Sulong (Batu Pahat) dan Pekan Nenas (Pontian).
Kajian kebolehlaksanaan projek ini telah disiapkan pada Disember tahun lalu, hasil libat urus antara kementerian berkaitan dan Kerajaan Negeri Johor, manakala perincian penuh projek WCE kini dalam proses untuk dimuktamadkan sebelum dibentangkan ke peringkat Kerajaan Persekutuan pada April ini.
Dengan kelancaran semua proses berkaitan, pembinaan WCE Selatan dijangka siap dalam tempoh 48 bulan selepas dimuktamadkan, sekali gus memberikan manfaat jangka panjang dari segi kelancaran trafik, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Johor.
#JohorSafeZone
#LebuhrayaWCE
#InfraJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor
#BangsaJohor



