MAINJ SAMBUT ULANG TAHUN KE-100 PENUH GEMILANG

YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor, selaku wakil rasmi DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat ke Majlis Sambutan 100 Tahun Penubuhan MAINJ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#JohorBahru – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) meraikan ulang tahun ke-100 penubuhannya dengan gilang-gemilang dan kekal teguh sebagai tiang seri pengurusan Islam, mewarisi legasi Kesultanan Johor Moden serta terus berkembang sebagai tonggak utama memperkukuh syiar Islam yang membangunkan kesejahteraan ummah.

 

Institusi berusia seabad tersebut telah membuktikan keupayaannya dalam menguruskan zakat dengan telus dan berkesan apabila berjaya meningkatkan jumlah kutipan daripada RM40 juta pada tahun 2000 kepada RM400 juta tahun lalu sekali gus meletakkan Johor diiktiraf sebagai negeri terbaik dalam pengurusan Rukun Islam ketiga itu.

 

MAINJ turut berperanan penting dalam urus tadbir wakaf di negeri ini, sehingga muncul sebagai model pengurusan profesional yang menjadi rujukan pelbagai pihak di samping pemerkasaan Baitulmal menjadikan institusi kewangan berkenaan sebagai nadi kepada pembangunan ekonomi umat Islam.

 

Selain itu, MAINJ menerajui pembangunan Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) yang kini menempatkan lebih 185,000 murid dengan sokongan lebih 6,000 guru di seluruh negeri dan terus memberikan bimbingan dan memastikan kebajikan imam, bilal dan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sentiasa dipelihara.

 

Terdahulu, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor, selaku wakil rasmi DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat ke Majlis Sambutan 100 Tahun Penubuhan MAINJ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, hari ini. Turut berangkat sama, YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.

 

Hadir sama, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor; YB Dato’ Dr. Abdul Rahim Ramli, Yang DiPertua Jumaah Majlis DiRaja Johor; YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dan YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor.

 

#JohorSafeZone
#MAINJ100Tahun
#IslamDimartabat
#RajaBerdaulat
#NegeriBerkat
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor