MBSB – DAYONE PERKUKUH EKONOMI DIGITAL JOHOR

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian antara MBSB dan DayOne Data Centers. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Johor terus mengorak langkah muncul sebagai pemacu sektor ekonomi digital negara apabila MBSB Bank Berhad (MBSB) dan DayOne Data Centers memeterai kerjasama strategik yang diyakini mampu melonjakkan lagi pembangunan infrastruktur digital di negeri ini, seiring dengan agenda Maju Johor 2030.

 

Menerusi kerjasama ini, MBSB telah menyalurkan Pembiayaan Islam berjumlah RM1.2 bilion sebagai sebahagian daripada pelaburan bernilai RM15 bilion bagi tujuan membangunkan kemudahan DayOne Data Hub yang terletak di Taman Teknologi Nusajaya dan Taman Teknologi Kempas.

 

Kerjasama strategik ini juga membuktikan sinergi sektor kewangan dan teknologi dapat menterjemah aspirasi Johor ke arah pembangunan mampan, transformasi digital dan pembangunan bakat tempatan, sekali gus bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan bergaji premium untuk rakyat Johor pada masa akan datang.

 

Selain itu, Johor juga menzahirkan hasrat untuk menjadi hab kewangan Islam serantau dengan memanfaatkan kedudukan geografinya yang strategik berhampiran Singapura melalui struktur pembiayaan berasaskan prinsip syariah dan komitmen dalam agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi menarik pelaburan berkualiti serta mampan.

 

Inisiatif ini secara tidak langsung menyokong sasaran pertumbuhan ekonomi Johor daripada RM148 bilion pada 2023 kepada RM260 bilion menjelang 2030, selain mampu menjadi pemangkin daya tahan ekonomi, transformasi hijau dan daya saing digital negeri, seterusnya mengukuhkan kedudukan Johor sebagai destinasi pilihan pelabur industri masa depan.

 

Dengan kedudukan strategik bersebelahan Singapura, ekosistem industri yang kukuh, tenaga kerja mahir serta sokongan kerajaan, Johor kini melangkah lebih jauh melalui Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang mampu memudahkan pergerakan pelaburan, bakat dan inovasi, sekali gus menyokong hasrat Johor untuk menjadi negeri maju menjelang tahun 2030.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian antara MBSB dan DayOne Data Centers yang berlangsung di Taman Teknologi Nusajaya, hari ini.

 

Hadir sama ialah YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor; YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna, dan Sumber Manusia Negeri Johor dan YBhg Encik Mohd Masni Wakiman, Pegawai Daerah Johor Bahru.

 

#PusatData

#JohorHomeOfChampions

#WTN

#BangsaJohor

#MediaDigitalJohor

#SahihTepatPantas

#MajuJohor