MET MALAYSIA NASIHAT ORANG RAMAI TIDAK PANIK SUSULAN GEMPA BUMI LEMAH

MET Malaysia memaklumkan gempa bumi lemah bermagnitud 3.2 berpusat di selatan Segamat pada jam 8.59 pagi tadi dengan gegaran dirasai di Johor dan selatan Pahang. | Foto arkib MDJ
#IskandarPuteri – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menasihatkan orang ramai supaya tidak panik susulan gempa bumi lemah di negeri ini, termasuk satu kejadian baharu yang berlaku pagi tadi berikutan laporan analisis menunjukkan gegaran adalah pada magnitud rendah.
Orang ramai juga diminta tidak bimbang kerana skala gempa bumi terutama di Semenanjung Malaysia adalah kecil dan dijangka tidak memberi impak yang besar kepada aspek keselamatan awam serta infrastruktur, jelas Puan Lucia Enggong, Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional, MET Malaysia.
Selain itu, MET Malaysia turut menyatakan tiada kejadian gegaran kedua dikesan di Kluang dalam kejadian pada 24 Ogos lalu, sebaliknya ia telah berlaku di Yong Peng iaitu kawasan utara Kluang berhampiran Batu Pahat.
MET Malaysia pada masa sama meneruskan pemantauan rapi seterusnya menyalurkan maklumat rasmi melalui laman sesawang, media sosial, aplikasi myCuaca dari semasa ke semasa dan orang ramai boleh membuat laporan di talian hotline 1-300-22-1638 jika kejadian gegaran berulang.
Terdahulu, gempa bumi lemah dikesan pada 24 Ogos lalu, dengan gegaran pertama direkodkan jam 6.13 pagi bermagnitud 4.1 diikuti kedua jam 9.00 pagi bermagnitud 2.8 pada kedalaman 10 kilometer di Zon Sesar Mersing berpunca daripada tekanan plat kerak bumi serantau yang mengganggu keseimbangan kerak bumi di Semenanjung Malaysia.
Dalam satu kenyataan hari ini, MET Malaysia memaklumkan berlaku gempa bumi lemah terbaharu bermagnitud 3.2 pada kedalaman 10 kilometer berpusat 18 kilometer selatan Segamat pada jam 8.59 pagi tadi, dengan gegaran dirasai di beberapa kawasan di Johor serta selatan Pahang, namun masih dalam kategori lemah.
Kerajaan Negeri sebelum ini menegaskan bahawa keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dan segala maklumat serta perkembangan terkini hanya akan disalurkan melalui saluran rasmi bagi mengelakkan kekeliruan serta spekulasi dalam kalangan masyarakat.
Sebagai langkah kesiapsiagaan, Mesyuarat Taskforce Kejadian Gegaran Bagi Daerah Segamat, Kluang dan Batu Pahat juga diadakan melibatkan 19 jabatan dan agensi utama Kerajaan Negeri serta Persekutuan yang membincangkan tindakan segera, strategi pengurusan bersepadu dan langkah-langkah menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam.
#JohorSafeZone
#GempaBumi
#Pray4Johor
#DoaUntukJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor