NAIK TARAF TAMAN NEGARA TANJUNG PIAI RANCAKKAN TAHUN MELAWAT JOHOR 2026

Taman Negara Tanjung Piai kini tampil dengan wajah baharu selepas dinaik taraf sepenuhnya dengan kos RM3.33 juta oleh Kerajaan Johor bagi memperkukuh sektor pelancongan negeri. | Foto arkib MDJ 

 

#IskandarPuteri – Taman Negara Tanjung Piai kini berwajah baharu selepas projek naik taraf infrastruktur siap sepenuhnya dengan kos keseluruhan berjumlah RM3.33 juta, hasil inisiatif Kerajaan Johor dalam usaha memperkukuh sektor pelancongan negeri ini.

 

Pelaksanaan projek ini melibatkan penambahbaikan Galeri Piai, laman tiba, kedai cenderamata serta kemudahan asas termasuk tandas dan surau bagi memastikan keselesaan pengunjung berada pada tahap terbaik, sekali gus merancakkan lagi sambutan Tahun Melawat Johor 2026.

 

Sebagai antara lokasi ikonik negeri, Tanjung Piai menawarkan empat tarikan utama iaitu kedudukannya sebagai titik paling selatan tanah besar Asia, kepelbagaian hidupan semula jadi seperti ikan belacak (mudskipper), keindahan ekosistem paya bakau sebagai benteng semula jadi serta peluang menyaksikan tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia dalam satu lokasi.

 

Taman negara ini juga turut berfungsi sebagai destinasi ekopelancongan dan pusat pendidikan alam sekitar yang memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah alam semula jadi.

 

Sempena Tahun Melawat Johor 2026, Tanjung Piai terus diperkasakan sebagai antara destinasi utama negeri yang bukan sahaja menawarkan keindahan alam semula jadi, malah membawa nilai pendidikan dan warisan yang tinggi kepada setiap pengunjung.

 

Yuran kemasukan ditawarkan pada kadar berpatutan iaitu RM5 bagi warganegara dewasa, RM3 bagi pelajar (tujuh hingga 17 tahun) dan warga emas, manakala kadar RM20 bagi bukan warganegara dewasa serta RM10 bagi pelajar dan warga emas bukan warganegara. Bagi golongan kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah dan Orang Kurang Upaya (OKU) pula, kemasukan adalah percuma.

 

#JohorSafeZone
#TanjungPiai
#TamanNegara
#TahunMelawatJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor