ORANG SEGAMAT ‘LEGA’

Beberapa penduduk di sekitar daerah yang terkesan dengan beberapa siri gempa bumi lemah mula menerima bantuan pada Majlis penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) gegaran (gempa bumi lemah) daerah Segamat di Pejabat Daerah Segamat, hari ini.
#IskandarPuteri – Penduduk di sekitar daerah Segamat kini boleh menarik nafas lega apabila Kerajaan Negeri Johor menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah telah melaksanakan tiga pelan intervensi berfasa bagi menghadapi insiden gempa bumi lemah yang berlaku di daerah berkenaan, baru-baru ini.
Tiga pelan intervensi berfasa yang merangkumi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang itu diumumkan sendiri oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor ketika Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Dewan Persidangan Bangunan Temenggong Ibrahim, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), semalam.
YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor memberitahu pengumuman pelan intervensi dan juga bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan kepada penduduk khususnya mereka yang berada di kawasan yang sedikit terjejas akibat insiden gempa bumi lemah di sekitar daerah Segamat sememanya memberikan kelegaan.
Bercakap atas kapasitinya sekali Ahli Dewan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, beliau secara peribadi amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana telah mengambil tindakan pro aktif dalam menyediakan beberapa inisiatif seperti melaksanakan prosedur tetap operasi (PTO) gempa bumi, mengukuhkan sistem pemantauan dan analisis saintifik, menaik taraf enam stesen seismologi sedia ada serta beberapa inisiatif lain sudah pasti memberikan kelegaan kepada penduduk di kawasan ini yang baharu sahaja berdepan dengan insiden fenomena alam yang jarang berlaku di negara ini.
Selain itu, selaku wakil rakyat di kawasan yang paling banyak menerima siri gegaran lemah gempa bumi itu, pihaknya amat bersyukur apabila Kerajaan Johor dan Persekutuan turut bersetuju memberikan peruntukkan bantuan khas kepada 62 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat bencana alam berkenaan yang berlaku sejak 24 Ogos lalu.
Ujarnya yang juga EXCO Angkat Daerah Segamat, pemberian bantuan khas itu bukan sekadar membantu mangsa memperbaiki kerosakan yang berlaku tetapi juga diharapkan akan membantu memulihkan juga semangat mereka khususnya berdepan dengan fenomena alam yang jarang berlaku dan juga di luar jangkaan.
Sementara itu, YB Anuar Manap, ADUN Pemanis turut menghargai pengumuman pelan intervensi berfasa bantuan berkenaan oleh YAB Menteri Besar hari ini bukan sahaja menjawab persoalan rakyat tetapi turut menangani kerisauan masyarakat di daerah Segamat khususnya di kawasan berkenaan yang turut terkesan dengan beberapa siri kejadian gegaran gempa bumi lemah itu.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perubahan Iklim Negeri Johor memberitahu, pengumuman bantuan khas dan pelan intervensi berfasa itu juga jelas menunjukkan komitmen dan keupayaan Kerajaan Negeri dalam menangabu isu-isu berkaitan gempa bumi dengan baik dan pantas demi kesejahteraan penduduk di Segamat ini.
#JohorSafeZone
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor