PEKERJA MAINKAN PERANAN PENTING REALISASI HASRAT KERAJAAN NEGERI
ISKANDAR PUTERI — Warga pekerja sebagai ‘barisan hadapan’ mempunyai tugas dan peranan signifikan bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk memastikan kemakmuran Johor dinikmati bersama.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, peranan dimainkan kumpulan itu sebagai rakan strategik dalam membangunkan ekonomi juga sangat penting dan dihargai kerajaan.
“Marilah kita teruskan usaha kita bersama untuk masa depan Malaysia, khususnya Negeri Johor yang aman, makmur dan sejahtera,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Pekerja, hari ini.
Mohd Hairi akui terdapat warga pekerja telah terjejas dan kini sedang kembali pulih untuk menikmati kehidupan seperti sebelum wabak COVID-19 melanda negara.
Namun, beliau yakin kumpulan berkenaan akan kekal berdaya tahan dan saling memperkukuh dalam menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.
Selain itu, katanya, tema sambutan Hari Pekerja ‘Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia Madani’ menterjemahkan aspirasi kesepaduan, kesepakatan dan jalinan kerjasama atas semangat Kerajaan Perpaduan berganding bahu memacu ekonomi negara khususnya di Negeri Johor.
“Saya selaku EXCO yang bertanggungjawab dengan portfolio Sumber Manusia Negeri Johor mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua warga pekerja di negara ini,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor