PELABURAN RM110 BILION BERI IMPAK SEKTOR PERTANIAN JOHOR

Kejayaan Johor mencatat nilai pelaburan tertinggi di Malaysia bagi tahun 2025 mencecah RM110 bilion bukan sahaja merancakkan ekonomi negeri, malah membolehkan pelaksanaan inisiatif seperti Program Jualan Kasih Johor bersama FAMA bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan. | Foto FB Zahari Sarip
#IskandarPuteri – Kejayaan Johor mencatat nilai pelaburan tertinggi di Malaysia bagi tahun 2025 mencecah RM110 bilion bukan sekadar memberi kesan positif kepada sektor industri dan pelaburan semata-mata, malah kemakmuran ini turut dirasai dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan di negeri ini.
Antara impak positif hasil daripada kemakmuran ekonomi ini membolehkan Kerajaan Johor menggerakan pelbagai inisiatif antaranya ialah Program Jualan Kasih Johor dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) demi manfaat rakyat sama ada di bandar atau desa di seluruh negeri ini.
Inisiatif Jualan Kasih Johor ini dirangka bagi memastikan rakyat di pelbagai peringkat demografi berpeluang mendapatkan barangan makanan asas seperti ayam, telur, ikan dan minyak masak pada harga yang jauh lebih rendah berbanding kadar jualan di pasaran sebenar.
Bagi tahun 2026, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM15.4 juta bagi meneruskan pelaksanaan program tersebut demi memastikan rakyat terus mendapat akses kepada barangan makanan pada harga berpatutan sejak ia diperkenalkan pada tahun 2023.
Selain itu, sempena sambutan Aidilfitri tahun ini, Jualan Kasih Johor diteruskan di kesemua 56 kawasan Dewan Negeri Johor (DUN) seluruh negeri untuk memberi peluang kepada rakyat mendapatkan barangan keperluan serta persiapan Aidilfitri pada harga yang istimewa berbanding hari biasa.
Inisiatif itu juga secara tidak langsung menyokong rantaian bekalan makanan tempatan serta membuka lebih banyak peluang kepada pemain industri pertanian sama huluan atau hiliran serta syarikat pengeluar makanan tempatan untuk memasarkan hasil mereka kepada pengguna.
Untuk rekod, Jualan Kasih Johor bermula dengan peruntukan RM800,000 pada tahun 2023 dan ia telah berjaya menarik lebih 126,000 pengunjung sebelum peruntukan berkenaan ditingkatkan kepada RM5.61 juta pada tahun 2024 dengan manfaat kepada seramai 865,670 pengunjung selepas program terbabit mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat.
Momentum tersebut berterusan pada tahun 2025 apabila peruntukan bagi program sama telah dinaikkan daripada RM6.6 juta kepada RM13.714 juta, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 1.5 juta rakyat Johor.
Pendekatan ini jelas menunjukkan bahawa apabila ekonomi Johor berkembang pesat dan menerima pelaburan tinggi, manfaatnya turut dapat dirasai rakyat terutama melalui sektor pertanian, bekalan makanan dan kesejahteraan pengguna.
#JohorSafeZone
#JualanKasihJohor
#PertanianJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


