PEMBANGUNAN ONE BUKIT SENYUM FASA 3 PACU TRANSFORMASI JOHOR BAHRU

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian antara Astaka Capital Sdn. Bhd. dan CapitaLand Investment Limited di One Bukit Senyum Property Gallery. | Foto MDJ Wira Anggara
#JohorBahru – Projek pembangunan One Bukit Senyum (OBS) fasa tiga oleh Astaka Padu Sdn. Bhd. dan CapitaLand Investment bernilai RM2.1 bilion bakal menjadi mercu tanda baharu serta mengubah wajah bandar raya Johor Bahru sekali gus katalis lonjakan ekonomi negeri.
Pembangunan ikonik itu akan menampilkan pusat beli belah premier, hotel bertaraf enam bintang, residensi moden dan eksklusif serta hab kulinari gabungan warisan gastronomi Johor dengan cita rasa antarabangsa yang berupaya meningkatkan hasil pelancongan dan membuka banyak peluang pekerjaan.
Pembangunan OBS fasa tiga yang terletak di lokasi strategik memanfaatkan hubungan kukuh antara Johor dan Singapura seperti dibuktikan menerusi kemajuan pembinaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura dan pewujudan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Kerajaan Negeri menzahirkan sokongan penuh terhadap pembangunan berimpak besar selari dengan pertumbuhan pesat Johor yang diterjemahkan melalui data pencapaian positif Pelaburan Langsung Asing (FDI), eksport pertanian dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) direkodkan.
Selain itu, Kerajaan Negeri mengajak seluruh Bangsa Johor untuk bersedia dan merebut peluang besar yang tercipta daripada kerancakan pembangunan ekonomi negeri seterusnya bersama merealisasikan aspirasi Johor untuk muncul sebagai negeri maju menjelang tahun 2030.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian antara Astaka Capital Sdn. Bhd. dan CapitaLand Investment Limited di One Bukit Senyum Property Gallery, hari ini.
Turut hadir, YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor; YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor serta YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Penasihat Ekonomi Negeri Johor.
Pertukaran dokumen perjanjian tersebut disempurnakan YBrs. Encik Allen Khong, Ketua Pegawai Eksekutif Astaka Holdings dan YBrs. Encik Ervin Yeo, Ketua Pegawai Strategi Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Komersial CapitaLand Investment.
#JohorSafeZone
#OneBukitSenyum
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor