PENEROKA FELDA ZAHIR RASA SYUKUR, SAMBUT BAIK INISIATIF KERAJAAN NEGERI

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan simbolik penyerahan inisiatif memperkasa komuniti FELDA Negeri Johor Tahun 2025 pada perasmian program Jelajah Orang Johor Daerah Kluang di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Renggam, Kluang. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#Kluang – Komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam membela untung nasib warga FELDA ternyata mendapat sambutan positif daripada masyarakat peneroka tanah rancangan berkenaan.

 

Majoriti warga peneroka FELDA menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri termasuk inisiatif berjumlah hampir RM4.6 juta bagi tujuan pemberian geran, penyelesaian projek terbengkalai serta perhatian terhadap kebajikan keluarga peneroka demi kesejahteraan mereka.

 

Rashidi Ismail, Ketua Peneroka FELDA Ayer Hitam memberitahu pihaknya berasa bersyukur kerana turut menerima bantuan geran bernilai RM10,000 yang secara tidak langsung membantu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) di kawasannya untuk memajukan infrastruktur serta menjaga hal ehwal keselamatan penduduk.

 

Beliau juga menghargai tindakan proaktif Kerajaan Negeri yang turut bertindak menyelesaikan segera isu berkaitan projek ternakan lembu fidlot dengan kapasiti 1,000 ekor di FELDA Ayer Hitam yang sudah terbengkalai. Pihaknya berharap proses pemulihan semula projek itu akan dapat memberi manfaat kepada lebih 300 peneroka untuk meningkatkan pendapatan masing-masing.

 

Sementara itu, Misdan Sabanain, Ketua Peneroka FELDA Layang-Layang memuji usaha Kerajaan Negeri membela kebajikan golongan peneroka terutama menerusi pemberian bakul makanan kepada kira-kira 129 keluarga di tanah rancangan berkenaan.

 

Langkah ini secara tidak langsung menterjemah iltizam Johor dalam menjadikan FELDA sebagai ‘anak emas’ serta pada masa sama menyelesaikan isu warisan yang telah lama membelenggu masyarakat peneroka seperti soal kebajikan dan lot generasi kedua di mana 99 peratus telah berjaya diselesaikan.

 

Usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri juga bukan sahaja merungkai permasalahan legasi yang telah lama membelenggu generasi kedua, tetapi ia juga bakal membuka lembaran baharu kepada pembangunan yang lebih tersusun dan inklusif di kawasan tanah rancangan berkenaan.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan simbolik penyerahan inisiatif memperkasa komuniti FELDA Negeri Johor Tahun 2025 pada perasmian program Jelajah Orang Johor Daerah Kluang di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Renggam, Kluang, baru-baru ini.

 

#JohorSafeZone
#SegalanyaFELDA
#GenerasiFELDAJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor