PENGAKTIFAN SEMULA SESAR MERSING PUNCA GEMPA BUMI LEMAH DI SEGAMAT

Kenyataan media Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).
#IskandarPuteri – Gempa bumi lemah berukuran magnitud 3.2 di Segamat, semalam, dikenal pasti berpunca daripada pengaktifan semula Sesar Mersing berikutan tekanan tektonik dari sistem serantau.
Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) memaklumkan kedudukan Malaysia yang terletak di atas Plat Sunda secara relatifnya stabil, namun masih menerima kesan tekanan daripada Jalur Subduksi Sunda terletak di barat Sumatera.
Tekanan berkenaan berpotensi mengaktifkan semula sesar sedia ada di Semenanjung Malaysia termasuk menghasilkan gegaran berskala kecil hingga sederhana dengan pusat gempa dikesan berhampiran lanjutan Sesar Mersing yang berorientasi dari barat-barat laut ke timur tenggara.
Analisis awal menunjukkan gempa bumi lemah itu berpunca daripada pergerakan sesar mendatar sinistral pada kedalaman cetek sekitar 10 kilometer melibatkan pergerakan kerak bumi ke arah bertentangan di kedua-dua sisi sesar dan disahkan bukan disebabkan oleh aktiviti gunung berapi atau subduksi laut dalam.
Rekod sejarah menunjukkan Johor sebelum ini pernah mengalami gegaran kecil pada tahun 2021 dan 2023 akibat aktiviti seismik luar pesisir Sumatera serta beberapa kejadian di Bukit Tinggi, Kenyir, Kuala Pilah dan kawasan Manjung-Temenggor.
Insiden berlaku di Segamat menguatkan lagi petunjuk bahawa plat benua Semenanjung Malaysia masih menyimpan tenaga atau tegasan tektonik yang boleh dilepaskan secara tiba-tiba seterusnya menyebabkan pergerakan bumi.
Sebagai langkah jangka panjang, JMG dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menekankan keperluan terhadap pemantauan seismik lebih menyeluruh, pemetaan semula sesar aktif dan pembangunan sistem amaran awal yang perlu diberikan keutamaan.
#JohorSafeZone
#GempaBumi
#Pray4Johor
#DoaUntukJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor