PENGERANG SEBAGAI PUSAT INDUSTRI TENAGA HIJAU

YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor serta YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan PETRONAS di Kuala Lumpur. | Foto FB Lee Ting Han
#IskandarPuteri – Pengerang bakal terus berkembang pesat sebagai pusat industri tenaga hijau menerusi perancangan projek pembangunan baharu oleh Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) melibatkan pengeluaran Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) dan Minyak Sayuran Rawatan Hidro (HVO) – diesel boleh diperbaharui.
Akan dibangunkan di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), loji penapisan minyak bio itu melibatkan kerjasama strategik dengan ENI, syarikat tenaga Itali serta Englena, syarikat peneraju industri bahan api bio dan diesel bio Jepun yang menjadi pemangkin penting dalam mengukuhkan kedudukan Johor sebagai hab tenaga serantau.
Sebagai hab penapisan dan petrokimia terbesar di rantau ini, pembangunan projek bahan api bio di PIC akan memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi tenaga boleh diperbaharui bagi mempercepat transformasi hijau serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi di Johor.
Loji penapisan minyak bio itu yang dijangka mula beroperasi pada separuh kedua tahun 2028, akan mempunyai kapasiti dalam menghasilkan SAF dan HVO bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat khususnya dari industri penerbangan serta pengangkutan global.
Justeru, Kerajaan Negeri menzahirkan komitmen untuk bekerjasama dengan PETRONAS bagi memastikan kejayaan pelaksanaan projek berimpak tinggi terbabit yang bukan hanya membawa manfaat kepada ekonomi negeri tetapi menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negara.
Terdahulu, YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor serta YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan PETRONAS di Kuala Lumpur.
#Pengerang
#PIC
#PETRONAS
#TenagaHijau
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor