POVEN KUMAR ‘BAYAR’ DUKA SUKMA SARAWAK 2024 DENGAN EMAS

Selepas dua tahun merawat ‘luka hati’ dan rasa kecewa dengan penuh kesabaran akibat kegagalannya di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 ternyata cukup berbaloi bagi atlet olahraga Johor, Poven Kumar apabila berjaya menebus kehampaan itu dengan menggondol pingat emas bagi acara 1,500 Meter Lelaki pada SUKMA XXII Selangor 2026.
#Serdang, Selangor – Selepas dua tahun merawat ‘luka hati’ dan rasa kecewa dengan penuh kesabaran akibat kegagalannya di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 ternyata cukup berbaloi bagi atlet olahraga Johor, Poven Kumar apabila berjaya menebus kehampaan itu dengan menggondol pingat emas bagi acara 1,500 Meter Lelaki pada SUKMA XXII Selangor 2026.
Pada acara itu, Poven Kumar, 21, merekodkan catatan masa 3:58.77 saat untuk muncul sebagai pemenang pingat emas, sekali gus memperbaiki catatan peribadi terbaik (PB) dalam acara berkenaan dan rekod terdahulunya iaitu 3:59.95 saat yang dicipta pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2025.
Kejayaan memenangi pingat emas itu sememangnya sangat bermakna buat atlet kelahiran Kota Tinggi itu, malah beliau sendiri mengakui hari ini menjadi antara hari paling bahagia bagi dirinya sebagai seorang atlet selepas penyertaannya pada edisi di Sarawak 2024 tidak membuahkan sebarang hasil berikutan kesan komplikasi kesihatan yang telah menjejaskan persembahannya di atas trek.
Anak kedua daripada tiga beradik itu mengakui pernah terlintas di benaknya untuk ‘mengantung kasut’ daripada sukan kegemarannya itu, namun sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarganya, terutama sekali ibunya telah menjadi sumber kekuatan untuk beliau kembali bangkit bagi meneruskan perjuangan dalam sukan olahraga yang amat diminatinya sejak dari kecil lagi.
Selain sokongan keluarga, kemudahan latihan serta sokongan daripada Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) serta jurulatih telah banyak membantu dirinya meningkatkan prestasi sehingga mampu mencapai kejayaan yang sangat diimpikannya iaitu meraih pingat emas di SUKMA Selangor 2026.
Selepas kejayaan yang cukup sentimental dalam acara 1,500 Meter, Poven tetap tidak mahu berasa terlalu selesa dengan pencapaian tersebut, sebaliknya mahu kekal fokus bagi menghadapi cabaran seterusnya dalam acara 800 Meter yang juga merupakan acara kegemarannya, esok.
Beliau berharap dapat memberikan larian terbaik sekali lagi pada acara berkenaan, sekali gus meneruskan momentum positif dalam membantu Kontinjen Johor menambah koleksi pingat pada temasya SUKMA kali ini.
#JohorSafeZone
#SUKMAXXII
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


