PROJEK LEGASI JOHOR PERKASA WARISAN TENUNAN KAIN BENANG JOHOR

Warisan Kain Benang Johor diperkukuh melalui Projek Legasi Johor, inisiatif Yayasan JCorp dan YWJ bagi memastikan seni tenun tradisional terus hidup, berkembang dan diwarisi generasi pelapis. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#JohorBahru – Warisan Kain Benang Johor terus dimartabatkan melalui Projek Legasi Johor, inisiatif Yayasan JCorp bersama Yayasan Warisan Johor (YWJ) yang membuka ruang baharu untuk memastikan seni tenun tradisional negeri terus hidup, berkembang dan diwariskan kepada generasi pelapis.

 

Bertemakan ‘Ditenun Legasi, Dipakai Identiti’, projek signifikan ini menzahirkan komitmen Yayasan JCorp untuk melahirkan penenun muda yang bukan sahaja mahir malah mampu mengangkat Kain Benang Johor sebagai salah satu identiti teras negeri.

 

Menerusi siri latihan intensif, pendekatan inovatif dan sokongan peralatan lengkap, Projek Legasi Johor mengangkat usaha ini daripada sekadar pemeliharaan warisan kepada agenda pemerkasaan ekonomi serta pembangunan kreativiti anak Johor.

 

Yayasan JCorp turut menaja lima set kek tenun dan peralatan proses lengkap bagi meningkatkan fasiliti latihan di YWJ sekali gus membolehkan 10 peserta perintis memulakan perjalanan mereka sebagai pelapis penenun Johor dengan latihan lebih tersusun serta kemudahan yang lebih mampan.

 

Selepas menamatkan latihan, peserta cemerlang berpeluang melanjutkan pengajian ke Institut Kraf Negara untuk memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam bidang tenunan, sebelum diserap berkhidmat sepenuh masa di YWJ.

 

Projek Legasi Johor turut seiring dengan fokus Yayasan JCorp dalam pembangunan seni, budaya dan warisan melalui platform seperti Pentas Seni Johor dan Galeri Seni yang terus memperkukuh jaringan kreatif serta menyediakan ruang berkarya kepada artis dan artisan negeri.

 

Terdahulu, YBhg. Encik Mohd Masni Wakiman, Pegawai Daerah Johor Bahru menyempurnakan perasmian Majlis Pelancaran Projek Legasi Johor di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar (KWSAB), YWJ, hari ini.

 

Turut hadir, YB Kol. (B) Dato’ Mohamed Perang Haji Musa, Pengelola Bijaya Diraja Johor; YBhg. Encik Nor Syazlan Abd. Razak, Pengarah YWJ; YBrs. Encik Rozaini Mohd Sani, Pengerusi Yayasan JCorp dan YBrs. Puan Zaidatul Zurita Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp.

 

#JohorSafeZone
#KainBenangJohor
#ProjekLegasiJohor
#MajesticJohor
#YayasanWarisanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor