PUSAT REKREASI SUNGAI LEBAM DIJANGKA SIAP SUKU KEDUA TAHUN INI

Ilustrasi Pusat Rekreasi Sungai Lebam yang akan menyediakan pelbagai kemudahan utama termasuk jeti bagi aktiviti rekreasi dan pelancongan, pusat aktiviti eksplorasi hutan paya bakau serta ‘river pool’ pertama yang dibangunkan di negara ini, sekali gus menawarkan pengalaman pelancongan yang unik kepada pengunjung. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor
#IskandarPuteri – Projek pembangunan Pusat Rekreasi Sungai Lebam yang dirangka sebagai destinasi aktiviti rekreasi dan eko-pelancongan di Desaru, Pengerang kini mencapai status kemajuan 50 peratus dan berada di landasan tepat untuk disiapkan sepenuhnya pada suku kedua tahun ini.
Pembangunan pusat rekreasi ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri menerusi peruntukan RM10 juta di bawah Belanjawan Johor 2025 bagi membangunkan kawasan strategik seluas 15.8 ekar di Sungai Lebam untuk dijadikan sebagai tarikan pelancongan berteraskan rekreasi air tawar.
Pusat Rekreasi Sungai Lebam apabila dibuka kepada umum kelak secara tidak langsung akan menjadikan Desaru sebagai destinasi menawarkan kepelbagaian produk yang tidak terhad kepada pelancongan peranginan pantai sahaja, sebaliknya berupaya merancakkan kegiatan ekonomi setempat.
Pusat rekreasi ini akan menyediakan pelbagai kemudahan utama termasuk jeti bagi aktiviti rekreasi dan pelancongan, pusat aktiviti eksplorasi hutan paya bakau serta ‘river pool’ pertama yang dibangunkan di negara ini, sekali gus menawarkan pengalaman pelancongan yang unik kepada pengunjung.
Perkembangan projek ini turut dibincangkan dalam Mesyuarat Pembangunan Sungai Lebam yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor bagi meneliti hala tuju pembangunan serta memastikan pelaksanaannya berjalan teratur dan berkesan.
Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) menerusi inisiatif My Pengerang juga menzahirkan komitmen untuk memastikan pelaksanaan projek ini berjalan lancar melalui pemantauan kerja di tapak serta penyelarasan bersama agensi teknikal berkaitan.
Pembangunan Sungai Lebam dilihat sebagai pelaburan sosial dan ekonomi jangka masa panjang yang berpotensi memberi manfaat kepada komuniti setempat melalui penciptaan peluang pekerjaan, pemerkasaan usahawan tempatan serta penyediaan ruang rekreasi berkualiti untuk keluarga.
#JohorSafeZone
#VisitJohor2026
#MehLahJohor
#MajesticJohor
#PusatRekreasiSungaiLebam
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



