RANHILL SAJ GIAT PERBAIKI KEROSAKAN PAIP AIR


Kerja- kerja pembaikan paip air sedang giat dijalankan | Foto Ihsan Fazli Salleh.

 

PASIR GUDANG — Syarikat utiliti air Johor, Ranhill SAJ kini sedang giat melakkan kerja mengenal pasti lokasi sebenar kerosakan paip air hingga menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa lokasi di Pasir Gudang.

Operasi pembaikan ini dilaksanakan secara serius dengan kerja dilakukan 24 jam sejak tiga hari lalu, namun terpaksa berdepan masalah tanah runtuh dan proses mengeluarkan air dari lokasi kerosakan berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir Ts Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata gangguan bekalan air itu dikenal pasti berpunca daripada kerosakan serentak dua paip masing-masing bersaiz 1000 milimeter (mm) dan 1200 mm pada kedalaman kira-kira lapan meter.

Katanya, kerosakan terbabit dikesan berlaku semasa kerja-kerja pemasangan paip baru dijalankan di kawasan yang sama.

“Saya sendiri ke Persiaran Seri Alam bagi meninjau kerja-kerja pembaikan kerosakan paip air yang menyebabkan kira-kira 43,000 akaun pengguna sekitar Pasir Gudang setakat hari ini.

“Jumlah itu sedikit berkurangan berbanding kira-kira 100,000 akaun pengguna yang terjejas pada peringkat awal isu ini berlaku selepas beberapa langkah lencongan proakatif dilakukan pihak Ranhill SAJ,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya, hari ini.

Mohamad Fazli berkata, sebagai langkah penyelesaian jangka masa pendek, pihak Ranhill SAJ turut bertindak mengagihkan bekalan air bersih kepada pengguna di kawasan terjejas.

“Pengangihan air bersih ini menggunakan 17 lori tangki milik syarikat utiliti itu dan dibantu lima lori sama dari pihak sama. Turut menghulurkan bantuan ialah dua lori tangki milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor dan kira-kira 14 kenderaan sama dari negeri jiran.

“Selain itu, terdapat juga pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut sudi membantu memberikan khidmat penghantaran air percuma kepada pengguna di kawasan terjejas,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan keadaan akan pulih seperti sediakala dalam tempoh terdekat sebaik sahaja kerja baik pulih selesai dengan mengambil kira jenis kerosakan dan kaedah pembaikan terbaik.

“Saya akan update (kemaskini) sebarang perkembangan. Diharapkan seluruh pengguna yang terjejas dapat bersabar dan mendoakan kerja-kerja pembaikan ini berjalan dengan lancar serta dapat disiapkan segera,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor