KERAJAAN NEGERI SALUR BANTUAN PERUMAHAN KASIH JOHOR FASA 5, SABTU INI

Seramai 6,000 penerima Bantuan Perumahan Kasih Johor (PKJ) Fasa 5 akan menerima manfaat menerusi majlis penyerahan di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru, Sabtu ini. Fasa ini melibatkan tiga kategori bantuan, iaitu Bantuan Beli Rumah Pertama (RM5,000), Bantuan Masuk Rumah Pertama (RM2,000) dan Bantuan Sewa Rumah (RM2,500). | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor
#IskandarPuteri – Seramai 6,000 penerima Bantuan Perumahan Kasih Johor (PKJ) Fasa 5 akan menerima manfaat inisiatif berkenaan menerusi satu majlis penyerahan yang akan berlangsung pada Sabtu ini di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru.
Fasa kelima itu melibatkan tiga kategori bantuan utama iaitu Bantuan Beli Rumah Pertama sebanyak RM5,000; Bantuan Masuk Rumah Pertama (RM2,000) dan Bantuan Sewa Rumah (RM2,500).
Proses hebahan keputusan kepada 6,000 penerima yang layak kini sedang dilaksanakan secara berperingkat oleh Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) menerusi e-mel, poster rasmi dan khidmat pesanan ringkas (SMS).
Pemohon yang terlibat dinasihatkan supaya menyemak e-mel masing-masing termasuk ruangan ‘Spam’ atau ‘Junk’ serta saluran rasmi PKPJ bagi mendapatkan maklumat dan pengesahan yang tepat.
Penerima yang berjaya juga perlu hadir sendiri dengan membawa kad pengenalan asal bagi tujuan pengesahan, manakala wakil tidak dibenarkan hadir bagi pihak penerima.
Sehingga Jun tahun ini, sebanyak empat fasa Bantuan PKJ telah dilaksanakan dengan 9,126 penerima telah menerima manfaat melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM37.7 juta.
Pelaksanaan PKJ Fasa 5 ini meneruskan kesinambungan komitmen Kerajaan Negeri dalam membantu lebih ramai Bangsa Johor mendapatkan kediaman yang lebih selesa, selamat dan berkualiti.
Inisiatif berkenaan turut memperlihatkan keutamaan Kerajaan Johor di bawah kepimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dalam memperluas akses kepada bantuan perumahan menerusi pelbagai bentuk sokongan yang bersesuaian dengan keperluan semasa rakyat.
Selain Bantuan PKJ, Kerajaan Negeri turut melaksanakan pelbagai agenda perumahan lain termasuk Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), Rumah Kasih Johor (RKJ) dan Rumah Prihatin Johor (RPJ) bagi memastikan lebih ramai Bangsa Johor berpeluang menikmati kediaman yang selesa dan berkualiti.
#JohorSafeZone
#PerumahanKasihJohor
#RumahMampuMilikJohor
#BangsaJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


