RM 28.4 JUTA UNTUK BAIK PULIH PPR DAN RSK DI JOHOR

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan hadir menyerahkan Insentif BKJ Fasa 3 kepada Peserta PPR dan RSK Negeri Johor bagi PPR Sri Stulang serta PPR Sri Iskandar Johor Bahru di Dewan Serbaguna PPR Sri Stulang. | Foto MDJ Wira Anggara
#JohorBahru – Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) terus komited menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat melalui pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) di seluruh negeri ini.
Bagi maksud itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM28.4 juta pada tahun ini, untuk pelaksanaan kerja membaik pulih fasiliti, infrastruktur serta meningkatkan lagi aspek keselamatan penduduk berbanding sebanyak RM47.95 juta yang telah diperuntukan pada tahun lalu.
Pada tahun ini juga, kerja-kerja baik pulih tambahan akan dilaksanakan di PPR Stulang dan PPR Sri Iskandar yang masing-masing akan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta dan RM1.2 juta. Ia merangkumi kerja naik taraf surau, dewan, projek menurap semula jalan, penggantian kabel lama serta pelbagai kerja penyelenggaraan yang lain.
Selain itu, beberapa aspek keselamatan turut dipertingkatkan melalui inisiatif SMART PPR seperti pemasangan pagar automatik, pondok pengawal dan sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang dijangka siap pada April depan.
Kerajaan Negeri juga turut menyerahkan Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa 3 kepada peserta PPR dan RSK di PPR Sri Stulang dan PPR Sri Iskandar Johor Bahru dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.91 juta yang dilihat bakal memberi manfaat kepada 14,590 penerima, sekali gus membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap rakyat khususnya membabitkan golongan B40.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan hadir menyerahkan Insentif BKJ Fasa 3 kepada Peserta PPR dan RSK Negeri Johor bagi PPR Sri Stulang serta PPR Sri Iskandar Johor Bahru di Dewan Serbaguna PPR Sri Stulang, Johor Bahru.
Turut hadir ialah YBhg. Datuk Yahya Jaafar, Pengerusi Yayasan MBJB dan YB Datin Paduka Dr. Suhailizan Suliman, Ketua Eksekutif PKPJ.
#JohorSafeZone
#PKPJ
#PPR
#RSK
#BantuanKasihJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


