RM371.5 JUTA BANTU 71,710 USAHAWAN, PMKS JOHOR TERUS BERKEMBANG

RM371.5 juta diperuntukkan pada 2025 bagi memperkasa keusahawanan, memberi manfaat kepada 71,710 usahawan di Johor. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Sebanyak RM371.5 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Johor sepanjang tahun 2025 bagi memperkasa sektor keusahawanan, sekali gus telah memberi manfaat kepada 71,710 usahawan di seluruh negeri ini.
Peruntukan ini disalurkan menerusi 349 program keusahawanan yang telah diselaras bersama 42 agensi di bawah kelolaan Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ).
Inisiatif berterusan ini secara tidak langsung turut mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan usahawan tempatan kekal berdaya tahan serta mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai cabaran ekonomi semasa.
Pada masa sama, ekosistem Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Johor terus menunjukkan perkembangan positif berdasarkan data rasmi terkini, sekali gus menepis persepsi bahawa sektor berkenaan berada dalam keadaan kritikal.
Jumlah PMKS di Johor terus meningkat daripada 124,837 pada 2023 kepada 131,214 pada 2024 dengan kadar pertumbuhan turut berkembang kepada 12.1 peratus, sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap kemakmuran ekonomi negeri.
Majoriti PMKS terdiri daripada kategori mikro sebanyak 68.5 peratus, sekali gus menuntut pendekatan intervensi bersasar agar sokongan akan dapat diberikan secara lebih efektf dan dinamik.
Keyakinan perniagaan di Johor juga kekal positif dengan petunjuk +3.0 peratus bagi suku pertama 2026, menunjukkan aktiviti ekonomi di negeri ini terus kekal stabil.
Meskipun berdepan cabaran semasa, Johor tetap berjaya mencatat pelaburan tertinggi negara sebanyak RM110 bilion dengan jangkaan 24,584 peluang pekerjaan baharu, mengukuhkan kedudukan negeri sebagai enjin pemacu ekonomi utama negara.
#JohorSafeZone
#JohorHomeOfChampions
#UsahawanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



