SEGERA DAFTAR MyNIISe, MUDAHKAN PERJALANAN RENTAS SEMPADAN JOHOR-SINGAPURA

Pengguna laluan sempadan Johor–Singapura diseru segera mendaftar aplikasi MyNIISe. | Foto FB Fazli Salleh
#IskandarPuteri – Orang ramai khususnya mereka yang sering menggunakan laluan sempadan Johor-Singapura diseru untuk segera mendaftar aplikasi MyNIISe, sekali gus menikmati manfaat daripada inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri yang akan mengguna pakai sistem kod QR di semua kaunter pintu keluar masuk di sempadan kedua-dua negara dalam tempoh terdekat.
Usaha yang sedang digerakkan oleh Kerajaan Negeri ini diyakini bukan sahaja mampu melancarkan proses pergerakan rentas sempadan antara Johor dan Singapura, tetapi juga dapat mengurangkan kesesakan trafik, selain menawarkan pengalaman perjalanan lebih cekap dan selesa.
Bagi memastikan proses dokumentasi imigresen menjadi lebih lancar, kerja pemasangan lapan mesin pengecaman wajah (FR) dan kod QR sedang giat dilaksanakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) melibatkan empat unit masuk dan empat unit keluar bagi menggantikan peralatan lama.
Kesemua mesin pengimbas tersebut akan berfungsi sama sebagaimana aplikasi MyBorderPass sebelum ini. Bagaimanapun penggunaan aplikasi MyNIISe yang kini berada pada fasa percubaan akan diperkemas berdasarkan maklum balas daripada pengguna yang menggunakan kereta dan kenderaan berat, sebelum ia diperluas ke laluan motosikal, pejalan kaki dan penumpang bas.
Inisiatif penggunaan aplikasi MyNIISe yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri menterjemah komitmen tinggi negeri ini dalam memperkukuh ekosistem digital, meningkatkan tahap keselamatan serta menambah baik infrastruktur sempadan demi keselesaan rakyat dan pelawat.
Sistem MyNIISe kini sedang diuji bermula 22 September lalu hingga 28 Februari 2026 dan bakal menggantikan sistem aplikasi MyBorderPass, dengan penambahan penggunaan kod QR dan pengecaman wajah. Inisiatif ini akan diperluaskan ke semua kaunter sempadan, sekali gus dijangka meningkatkan kesalinghubungan antara Johor dan Singapura.
#JohorSafeZone
#MyNIISe
#TambakJohor
#KSAB
#BSI
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor