SISTEM GILIRAN PINTAR HSAJB DIPERLUAS SECARA BERFASA

HSAJB membangunkan sistem janji temu elektronik bersepadu sejak September 2023 bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan mengurangkan kesesakan hospital dengan sokongan Kerajaan Negeri. | Foto arkib MDJ
#IskandarPuteri – Pelaksanaan Sistem Giliran Pintar (SQS) bermula secara berperingkat di Poliklinik Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan mengurangkan kesesakan sejak 19 September lalu, akan diperluaskan menjelang akhir tahun ini.
Perluasan inisiatif sistem digital berasaskan janji temu dan nombor giliran melibatkan peruntukan RM1 juta dalam Belanjawan Johor 2024 yang telah memanfaatkan hampir 30,000 pesakit itu akan dilakukan secara berfasa ke semua 33 klinik pakar bagi memudahkan pesakit dan pelawat mendapatkan perkhidmatan di HSA.
Kerajaan Negeri menzahirkan komitmen isu-isu teknikal yang berlaku hingga menyebabkan kelewatan baru-baru ini, tidak berulang malah pemantauan dan tinjauan berkala akan dijalankan untuk menjamin kelancaran sistem sekali gus memastikan inisiatif tersebut kekal sistematik, efisien dan mesra pengguna.
Selain itu, penyediaan kod QR kepada pesakit khususnya warga emas turut dicadangkan agar golongan berkenaan tidak bergantung sepenuhnya kepada telefon pintar selain kemudahan yang disediakan bagi memudahkan dan memberikan keselesaan awam boleh dinikmati semua lapisan masyarakat di negeri ini.
Di samping inisiatif SQS, sistem janji temu berperingkat turut diperkenalkan bagi mengurangkan masa menunggu di fasiliti rawatan sejajar dengan usaha memperkemas pengurusan waktu dan mengurangkan kesesakan di hospital, di mana pesakit kini hanya perlu hadir 30 minit sebelum waktu rawatan ditetapkan.
Sejak September 2023, HSA telah mula membangunkan sistem janji temu elektronik secara bersepadu bagi memastikan penyampaian perkhidmatan lebih tersusun, mesra pengguna dan menyeluruh sebagai persediaan kepada pelaksanaan penggiliran digital itu dengan sokongan penuh Kerajaan Negeri mengatasi kesesakan di hospital awam berkenaan.
#JohorSafeZone
#PerkhidmatanBerkualiti
#HSAJB
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor