SKUAD YPM JOHOR SEDIA SAHUT SERUAN KUKUH AGENDA PENDIDIKAN NEGARA

YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah diiringi YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir Majlis Pelancaran Skuad YPM Peringkat Negeri Johor. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Johor mencatat langkah penting dalam memperkukuh agenda pendidikan negara apabila Skuad Yayasan Pelajaran MARA (YPM) Peringkat Negeri Johor dilancarkan secara rasmi dengan penyertaan 4,800 ahli dari 26 parlimen di seluruh negeri.

 

Pelancaran berkenaan menandakan kesiapsiagaan Johor untuk melahirkan sukarelawan yang aktif memperkasa anak muda melalui pelbagai inisiatif ilmu dan pembangunan modal insan bagi membina masyarakat berpendidikan tinggi serta berdaya saing.

 

Kerajaan Persekutuan turut menghargai sokongan Kerajaan Negeri melalui peruntukan RM1.8 juta disumbangkan bagi program pendidikan Skuad YPM yang mencerminkan kesungguhan untuk memperkukuh akses pendidikan dan memperluas peluang pembangunan potensi Orang Muda Johor.

 

Pemerkasaan bilangan anggota melebihi 20,000 menjadi antara langkah reformasi yang dicadangkan untuk memperkukuh peranan skuad YPM dan keberkesanan program di seluruh negara dengan Johor diharapkan menjadi peneraju utama agenda pendidikan itu.

 

Selain itu, tumpuan juga diberikan ke atas pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi kerjasama erat institusi di bawah MARA disokong ekosistem industri pesat berkembang di negeri ini, yang berpotensi mengangkat Johor sebagai model negeri.

 

Inisiatif tersebut turut diperluas kepada anak muda luar bandar dan pedalaman bagi memastikan tiada pelajar tercicir daripada peluang pendidikan serta bantuan melalui pendekatan berasaskan data dan jaringan akar umbi yang digunapakai.

 

Pada masa sama, YPM juga akan memperkukuh peranan Sekretariat dan Sahabat YPM di peringkat negeri serta parlimen untuk melaksanakan aktiviti pendidikan lebih tersusun, terancang dan memberi impak secara langsung kepada komuniti setempat.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah diiringi YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir Majlis Pelancaran Skuad YPM Peringkat Negeri Johor di Stadium Tertutup Arena Larkin, hari ini.

 

#JohorSafeZone

#PendidikanBangsaJohor

#YayasanPelajaranMARA

#SkuadYPMJohor

#BangsaJohor

#MediaDigitalJohor

#SahihTepatPantas

#MajuJohor