SOUTHERN VOLUNTEERS HEALTHCARE BANTU RINGANKAN BEBAN PETUGAS KESIHATAN HSAJB

YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor hadir meninjau pelaksanaan inisiatif SV Healthcare di HSAJB. | Foto MDJ Wira Anggara
#JohorBahru – Kerajaan Johor kini mengambil inisiatif sendiri dengan menubuhkan Southern Volunteers (SV) Healthcare bagi menangani isu kekurangan perjawatan kakitangan serta masalah bebanan tugas petugas kesihatan yang dilihat masih belum menemui jalan penyelesaian terbaik di peringkat Persekutuan.
Inisiatif SV Healthcare yang turut mendapat perkenan daripada DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor ini akan menjadi projek rintis di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) dengan fokus utama untuk membantu petugas kesihatan di beberapa lokasi kritikal utama di hospital awam berkenaan seperti Jabatan Kecemasan dan Trauma dan Poliklinik Pakar, sekali gus berupaya melancarkan operasi kesihatan di HSAJB.
Pelaksanaan inisiatif SV Healthcare ini akan dilaksanakan secara berfasa bermula pada bulan ini hingga September depan. Pada peringkat permulaan, pasukan sukarelawan SV Healthcare ini akan bertugas secara bergilir dalam tiga syif waktu bekerja dengan 10 orang sukarelawan bagi setiap syif, menjadikan keperluan harian sebanyak 30 orang sukarelawan.
Inisiatif ini merupakan respons segera Kerajaan Negeri terhadap cabaran sumber manusia yang dihadapi oleh pihak HSAJB, khususnya dalam usaha mempercepatkan aliran pesakit dan meringankan beban kerja petugas sedia ada, selain ia bakal diperluaskan ke beberapa hospital lain seperti Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Pasir Gudang (HPG) sekiranya inisiatif ini terbukti berkesan dalam menyelesaikan isu yang sudah berlarutan sejak sekian lama.
Selain itu, usaha yang sedang dilaksanakan ini turut mendapat perhatian dan sokongan daripada pelbagai pihak seperti KPJ Healthcare Berhad yang menyatakan kesediaan mereka untuk membantu menyalurkan kepakaran bagi memperkukuhkan lagi inisiatif dan peranan SV Healthcare ini.
Sementara itu, sebuah jawatankuasa khas antara Kerajaan Johor dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut ditubuhkan bagi merangka strategi penambahbaikan sistem kesihatan negeri secara menyeluruh, termasuk memastikan pengoperasian HPG berjalan mengikut jadual dan perancangan yang telah ditetapkan sebelum ini.
Terdahulu YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor hadir meninjau pelaksanaan inisiatif SV Healthcare di HSAJB, hari ini.
#WTN
#FasilitiKesihatan
#SouthernVolunteers
#HospitalSultanahAminah
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor