TABUNG KASIH JOHOR-PALESTIN 2.0 AKAN DILANCARKAN


YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor menyempurnakan perasmian Kerjasama Strategik antara Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

 

Menginsafi penderitaan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, Kerajaan Johor terus menzahirkan solidariti dan keprihatinan sekali gus bakal melancarkan Tabung Kasih Johor-Palestin 2.0 untuk memberi kemudahan kepada orang ramai menghulur sumbangan bagi meringankan beban umat Islam di sana.

 

Menerusi tabung berkenaan, bantuan kemanusiaan akan disampaikan dalam bentuk barangan berbanding wang tunai seperti sebelum ini menerusi Tabung Khas Kemanusiaan Rakyat Palestin yang berjaya mengumpulkan hampir RM2 juta dan kemudiannya disalurkan ke Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) Kementerian Luar Negeri (KLN) pada tahun lalu.

 

Kerajaan Negeri menjangkakan sebanyak RM2.5 juta akan dapat dikumpul untuk menggerakkan misi bantuan kemanusiaan kali ini yang bermula dengan penyediaan barangan keperluan asas di negeri ini, seterusnya dihantar menggunakan jalan laut ke Mesir terlebih dahulu sebelum dibawa masuk ke bumi Gaza.

 

Selain itu, sebuah perkampungan dikenali ‘Kampung Johor’ turut akan didirikan di kem-kem perlindungan rakyat Palestin melalui sumbangan berupa khemah yang kini menjadi keutamaan sebagai tempat berlindung selepas tempat tinggal mereka musnah angkara dibedil rejim Zionis dalam konflik yang menjangkau lebih 200 hari.

 

Terdahulu, YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor menyempurnakan perasmian Kerjasama Strategik antara Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ). Hadir sama, YB Dato’ Yahya Ahmad, Mufti Negeri Johor; YB Dato’ Nooh Gadot, Penasihat MAINJ; YBhg Nasri Md. Ali, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ serta YBrs. Norhafizah Md Sharif, Ketua Pegawai Kewangan BSN.

 

Kerjasama strategik yang dimeterai antara BSN dan MAINJ itu akan membolehkan pemegang akaun bank berkenaan mengagihkan sebahagian keuntungan simpanan masing-masing dengan berwakaf serendah RM1 di Jariah Wakaf Johor (JWJ) untuk manfaat kebajikan umat Islam di negeri ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor