TABUNG PENDIDIKAN JOHOR PASTIKAN MANFAAT DIRASAI MAHASISWA JOHOR

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menjawab mengenai usaha Kerajaan Negeri membantu anak Johor membiayai yuran pelajaran pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. | Foto MDJ Wira Anggara
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri Johor berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM33.266 juta melalui Tabung Pendidikan Johor, sekali gus akan memastikan setiap dana pendidikan yang diperolehi itu akan dimanfaatkan sepenuhnya kepada golongan mahasiswa di negeri ini.
Melalui dana yang diterima itu, Kerajaan Negeri akan memperluas pelaksanaan Skim Pinjaman Pelajaran Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dengan peruntukan RM18.3 juta pada tahun 2025 untuk memanfaatkan seramai 2,500 mahasiswa Johor yang kini sedang berada di peringkat pengajian membabitkan sijil, diploma dan ijazah sarjana muda di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) terpilih di seluruh negara.
Skim berkenaan akan terus mengekalkan konsep pinjaman tanpa faedah, di mana pelajar hanya perlu membayar kembali jumlah yang dipinjam, selain menawarkan Pinjaman Boleh Ubah kepada biasiswa penuh kepada mana-mana graduan yang berjaya memperoleh ijazah kelas pertama.
Selain itu, Tabung Pendidikan Johor ini turut dimanfaatkan melalui Biasiswa Orang Muda Johor (BOMJ) yang memberi peluang kepada pelajar cemerlang anak Johor untuk melanjutkan pengajian mereka ke 10 universiti terbaik dunia.
Sehingga kini, seramai 14 pelajar sedang ditaja termasuk empat mahasiswa yang berjaya melanjutkan pengajian ke Columbia University di Amerika Syarikat serta Imperial College London dan University of Warwick di United Kingdom, manakala bakinya pula sedang mengikuti pengajian di peringkat A Level sebagai persediaan sebelum ke luar negara.
Inisiatif Tabung Pendidikan Johor yang dilaksanakan menjadi bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan tiada anak Johor yang tercicir daripada peluang melanjutkan pengajian disebabkan kekangan kewangan, sekali gus berupaya melahirkan modal insan berkualiti, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada kemajuan negeri.
Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menjawab mengenai usaha Kerajaan Negeri membantu anak Johor membiayai yuran pelajaran pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2026
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



