TRANSFORMASI PEMIKIRAN PENJAWAT AWAM TERAS JOHOR KE PERSADA GLOBAL

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyampaikan ucaptama pada program Johor Dialogue 2026 di Dewan Kenanga, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), hari ini. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#JohorBahru — Kerajaan Negeri menggariskan perubahan pemikiran dan budaya kepimpinan dalam perkhidmatan awam di negeri ini, selari dengan aspirasi DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sebagai teras utama dalam memastikan transformasi ekonomi negeri dapat dilaksanakan secara mampan dan berdaya saing di peringkat global.

 

Pendekatan ini juga selari dengan realiti pentadbiran semasa yang semakin kompleks, didorong oleh keadaan rakyat yang lebih berpengetahuan, sekali gus menuntut keupayaan dan kebolehan Pegawai Tadbir Negeri Johor (JCS) berfikir secara strategik, progresif dan berpaksikan penyelesaian masalah secara cekap.

 

Kerajaan Johor juga menekankan transformasi yang digerakkan ini bukan sekadar melibatkan perubahan dasar dan sistem, tetapi turut memerlukan anjakan budaya kerja, mentaliti serta keberanian untuk mempersoal, mempelajari dan menyesuaikan diri dengan landskap pentadbiran yang sentiasa dinamik.

 

Dalam aspek ekonomi, Johor yang kini merekodkan prestasi pelaburan tertinggi di Malaysia pada tahun 2025 dengan nilai pelaburan diluluskan mencecah RM91.1 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama, meletakkan sasaran RM102 bilion bagi jumlah pelaburan keseluruhan pada tahun ini.

 

Bagi tahun 2026, Kerajaan Johor optimis meletakkan sasaran jumlah kumulatif pelaburan diluluskan sebanyak RM140 bilion, dilihat selari dengan pelaksanaan pelan transformasi ekonomi negeri yang memberi penekanan kepada industri berteknologi tinggi dan bernilai tambah.

 

Kerajaan Johor turut menegaskan setiap pelaburan yang dibawa masuk perlu memberi nilai sebenar kepada rakyat melalui penciptaan peluang pekerjaan berkualiti, pembangunan ekosistem industri masa depan serta pemerkasaan bandar pintar dan agenda kelestarian.

 

Seiring dengan itu, pembangunan modal insan akan terus diberikan keutamaan melalui pelaksanaan program ‘upskilling dan reskilling’, termasuk kerjasama strategik dengan institusi pendidikan antarabangsa dan tempatan bagi memastikan rakyat Johor beralih daripada pelaksana tugas kepada pencipta nilai dan inovator dalam era kecerdasan buatan (AI).

 

Pendekatan ‘whole of nation’ telah digerakkan bagi menyelaras usaha kerajaan, institusi pendidikan, industri dan agensi berkaitan, termasuk pendedahan penjawat awam kepada latihan profesional bertaraf antarabangsa serta galakan kepada diaspora Johor untuk kembali menyumbang kepada pembangunan negeri.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyampaikan ucaptama pada program Johor Dialogue 2026 di Dewan Kenanga, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), hari ini. Turut hadir ialah YB Tuan Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Menteri Ekonomi dan YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Johor.

 

#JohorDialogue2026
#JohorForward
#TadbirUrusKerajaan
#JohorHomeOfChampions
#WTN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor