TUNKU MAHKOTA ISMAIL BENTUK BUDAYA DISIPLIN, MENTALITI JUARA ORANG MUDA JOHOR

DYAM Pemangku Sultan Johor bukan sekadar figura bola sepak, sebaliknya menjadi seorang pemimpin yang membawa perubahan besar kepada budaya pembangunan sukan dan belia di negeri ini. | Foto Arkib MDJ

 

#IskandarPuteri – Di tengah perbincangan hangat mengenai bola sepak negara di media sosial ketika ini, orang muda Johor melihat peranan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, daripada perspektif yang lebih luas berbanding hanya sekadar di atas padang.

 

Bagi Majlis Belia Negeri Johor, DYAM Pemangku Sultan Johor bukan sekadar figura bola sepak, sebaliknya menjadi seorang pemimpin yang membawa perubahan besar kepada budaya pembangunan sukan dan belia di negeri ini.

 

Transformasi menerusi penubuhan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bukan sahaja mencipta kejayaan di pentas domestik dan antarabangsa, malah ia juga telah membina budaya disiplin, profesionalisme serta mentaliti untuk sentiasa mencapai standard tertinggi dalam kalangan orang muda.

 

Pendekatan kepimpinan yang menekankan standard tinggi, disiplin serta mentaliti untuk sentiasa menjadi yang terbaik secara tidak langsung turut memberi kesan lebih luas kepada pembangunan negeri, termasuk dalam usaha menarik pelaburan dan memperkukuh ekonomi Johor.

 

Hasilnya, Johor kini mencatatkan rekod pelaburan tertinggi dalam negara serta hasil negeri tertinggi dalam sejarahnya, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap hala tuju pembangunan negeri ini.

 

Secara tidak langsung, kemasukan pelaburan ini bukan sahaja mengukuhkan ekonomi negeri, malah turut membuka peluang yang lebih luas kepada orang muda Johor dalam bentuk peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dalam sektor teknologi, industri dan perkhidmatan moden.

 

Lebih penting, kepimpinan DYAM Tunku Mahkota Ismail juga telah menyemai semangat Bangsa Johor yang membentuk rasa kebersamaan, kebanggaan dan keyakinan dalam kalangan generasi muda negeri ini.

 

#JohorSafeZone
#OrangMudaJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor