WIRA TANI JOHOR HARUMKAN NAMA NEGERI PADA HPPNK 2025

YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor bersama jabatan dan agensi di bawah portfolio pertanian sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025. | Foto FB Zahari Sarip

 

#IskandarPuteri – Johor sekali lagi meraih pengiktirafan membanggakan apabila menerima empat anugerah sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 yang memasuki edisi ke-50 di Kota Kinabalu, Sabah pada 1 hingga 3 Ogos lalu.

 

Pengiktiraf tersebut diraih oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sri Medan, Batu Pahat bagi Anugerah Pertubuhan Peladang Jaya diikuti Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sedili, Kota Tinggi (Anugerah Persatuan Nelayan Jaya), Tani Komuniti Kampung Dato’ Abdul Rahman Yassin (KDARY), Kluang (Anugerah Kumpulan Wanita Jaya) dan Perladangan Berkelompok Sawah Kesang Tasek, Tangkak (Anugerah Kumpulan Tani Komersil Jaya).

 

Kerajaan Negeri menyifatkan kejayaan wira-wira tani tu bukan sahaja membanggakan Negeri Johor malah membuktikan usaha gigih, semangat kerjasama dan daya inovatif peladang, penternak serta nelayan di negeri ini, yang mampu melonjakkan sektor agromakanan ke tahap lebih tinggi.

 

Selain merakamkan ucapan syabas dan tahniah atas kecemerlangan berkenaan, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, terus komited memperkasakan sektor agromakanan menerusi pelbagai inisiatif untuk manfaat menyeluruh terutama kepada pengusaha yang terlibat.

 

HPPNK 2025 dianjurkan untuk mengiktiraf dan mempromosikan sektor pertanian, penternakan dan perikanan sebagai pemacu pembangunan negara, platform memperkenalkan teknologi terkini dan menarik minat orang muda dan pelabur serta perkongsian pengetahuan, pengalaman dan peluang perniagaan.

 

Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor hadir bersama jabatan dan agensi di bawah portfolio pertanian terlibat secara langsung mengetengahkan produk usahawan tempatan, pameran pencapaian sektor agromakanan negeri serta membuka ruang kerjasama strategik pada sambutan HPPNK 2025.

 

#HPPNK2025
#Agromakanan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor