YAYASAN JCORP SELAMATKAN 2.5 TAN LEBIHAN MAKANAN

Yayasan JCorp berjaya menyelamatkan lebih 2.5 tan makanan lebihan melalui Program MYSaveFood dan memberi manfaat kepada hampir 4,000 penerima. | Foto Yayasan Johor Corporation

 

#IskandarPuteri – Lebih 2.5 tan makanan lebihan berjaya diselamatkan Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) bersama beberapa rakan strategiknya menerusi Program MYSaveFood, sekali gus memberi manfaat kepada hampir 4,000 penerima di seluruh negeri ini dan mengelak berlakunya sebarang pembaziran.

 

Inisiatif yang dilaksanakan sepanjang Ramadan itu menjadi langkah proaktif bagi menangani isu pembaziran makanan yang sering meningkat ketika pengoperasian bazar Ramadan, jelas YB Dato’ Mizan Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp.

 

Selain itu, Yayasan JCorp juga berperanan memastikan setiap makanan yang masih dalam keadaan baik tidak akan menjadi sisa buangan, sebaliknya ia diagihkan semula kepada golongan memerlukan termasuk kumpulan asnaf dan komuniti berpendapatan rendah B40.

 

Lebihan makanan ini dikumpulkan menerusi bazar Ramadan yang beroperasi di beberapa daerah dan kawasan termasuk Johor Bahru, Kulai, Segamat, Batu Pahat, Muar, Mersing, Kota Tinggi dan Renggam, sebelum ia disalurkan secara selamat kepada penerima yang telah dikenal pasti, termasuk penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR).

 

Pelaksanaan program itu turut disokong menerusi penggunaan aplikasi tempatan ‘ReMeal’ yang berfungsi untuk merekod, menjejak serta memastikan pengagihan makanan berkenaan dapat dilakukan secara telus dan sistematik.

 

Program MYSaveFood adalah antara inisiatif utama di bawah agenda Alam Sekitar dan Kesejahteraan Komuniti Yayasan JCorp dalam usaha membina masyarakat yang lebih prihatin, bertanggungjawab dan mampan di seluruh Negeri Johor.

 

#JohorSafeZone
#MYSafeFood
#BazarRamadan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor