JOHOR SASAR 1,245 STESEN PENGECASAN EV MENJELANG 2030

Kerajaan Johor menyasarkan pembinaan 1,245 stesen pengecasan EV menjelang 2030 berbanding 711 stesen sedia ada bagi menyokong peningkatan penggunaan kenderaan elektrik dan pembangunan pengangkutan hijau yang lebih lestari. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor menyasarkan peningkatan jumlah stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) kepada 1,245 stesen menjelang tahun 2030 bagi memperkukuh penggunaan sektor pengangkutan hijau, sekali gus menyokong agenda pembangunan negeri yang lebih lestari.
Setakat ini, Johor mempunyai 711 stesen pengecasan EV dengan 2,742 kenderaan elektrik berdaftar di seluruh negeri ini, sekali gus menunjukkan perkembangan penggunaan teknologi pengangkutan rendah karbon yang memerlukan sokongan infrastruktur yang lebih menyeluruh.
Kerajaan Negeri juga menetapkan tanggungjawab kepada 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memperluaskan kemudahan pengecasan EV di kawasan pentadbiran masing-masing, termasuk memastikan pembangunan infrastruktur berkenaan dapat dilaksanakan mengikut sasaran yang telah ditetapkan.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut merancang memperkenalkan inisiatif ‘Satu Bangsa Johor, Satu Pokok’ bermula pada tahun hadapan sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar.
Bagaimanapun, inisiatif berkenaan masih dalam peringkat perancangan dan memerlukan penyelarasan rapi bagi memastikan pelaksanaannya dapat berjalan lancar serta mampu mencapai matlamat menghijaukan persekitaran negeri.
Kedua-dua usaha ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam membudayakan amalan mesra alam, bukan sahaja melalui penyediaan infrastruktur pengangkutan hijau, malah menerusi penglibatan masyarakat dalam aktiviti penanaman dan pemeliharaan pokok.
Terdahulu, YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, mempengerusikan mesyuarat berkaitan agenda kelestarian negeri, baru-baru ini.
#JohorSafeZone
#EV
#AgendaHijau
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


