10,000 MERIAHKAN LAKSAMANA RUN 2025

Seramai 10,000 peserta seluruh negara menyertai Laksamana Run 2025 anjuran Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (TLJCF) di Gateway Garden, Medini. | Foto Tunku Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (TLJCF)
Oleh: NUREEN NATASYA NOOR HASHAIRUL
#IskandarPuteri – Seramai 10,000 peserta dari seluruh negara menyertai Laksamana Run 2025 anjuran Tunku Laksamana Johor Cancer Foundation (TLJCF) yang berlangsung di Gateway Garden, Medini.
Lebih membanggakan, acara larian tahunan kali ini turut meraikan ulang tahun ke-10 TLJCF dengan tema ‘Sedekad Prihatin’ sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat, rakan penaja dan sukarelawan yang terus menyokong perjuangan membantu pesakit kanser yang sudah dilaksanakan sejak sedekad lalu.
Sejak penganjuran pertamanya pada tahun 2017, Laksamana Run ini telah berjaya mengumpul dana keseluruhan sebanyak RM7,428,821 yang turut digunakan dengan sebaik mungkin untuk membiayai kos rawatan, memberi sokongan emosi serta bantuan kewangan kepada pesakit kanser di bawah program seliaan TLJCF.
Lebih menarik, edisi kali ini turut disertakan dengan majlis pelancaran Dataran Laksamana oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) sebagai sebahagian daripada simbol perjuangan YAM Almarhum Tunku Abdul Jalil Ibni Sultan Ibrahim dalam melawan penyakit kanser serta lambang keprihatinan terhadap para pejuang kanser di negeri ini.
Acara kali ini juga turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti komuniti termasuk pameran kesihatan, gerai jualan, persembahan muzik dan cabutan bertuah, sekali gus mencerminkan simbol kasih sayang dan solidariti dalam membantu pesakit kanser meneruskan perjuangan mereka.
Terdahulu, YAM Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim, Penaung DiRaja Laksamana Run, berkenan merasmikan Laksamana Run serta turut menyerahkan cek cura kutipan sumbangan berjumlah RM1.135 juta hasil penyertaan dan sokongan daripada pihak penaja program.
Hadir sama, YBhg Tuan Haji Hasrin Kamal Hashim, Datuk Bandar MBIP; YB Dato’ Ismail Karim, Ahli Lembaga Pengarah TLJCF; YB Kol. (B) Dato’ Mohamed Perang Musa, Pengarah Eksekutif TLJCF dan YB Dato’ On Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan).
#JohorSafeZone
#LaksamanaRun2025
#SedekadPrihatin
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor