105 SEKOLAH IKUTI PROGRAM KALIS KUKUH PENGUASAAN 3M

Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Cendana, Pasir Gudang antara salah satu daripada 105 sekolah yang terlibat dalam pelaksanaan Program Kemahiran Asas Literasi dan Numerasi (KALIS) dengan kerjasama Teach For Malaysia (TFM). | Foto MDJ Wira Anggara
#PasirGudang – Sebanyak 105 sekolah kebangsaan melibatkan enam daerah di negeri ini, terpilih dalam pelaksanaan Program Kemahiran Asas Literasi dan Numerasi (KALIS) dengan kerjasama Teach For Malaysia (TFM) yang kini sedang berlangsung hingga Mac 2026.
Program yang menjadi antara pendekatan utama pasca pandemik COVID-19 dalam memastikan setiap murid menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira tanpa mengira latar belakang itu menyasarkan pelajar memerlukan sokongan tambahan agar tidak tercicir.
TFM turut menyediakan kit peralatan pembelajaran yang akan membantu guru merancang dan menyampaikan sesi pengajaran lebih efektif serta berfokus sekali gus memperkasakan warga pendidik selain membina keyakinan murid untuk terus belajar dan menyesuaikan diri dengan keperluan pendidikan masa kini.
Literasi dan numerasi yang kukuh menjadi asas penting sebelum murid didedahkan kepada bidang lain seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta meningkatkan prestasi dan membantu pelajar membuat pilihan lebih baik terhadap dunia kerjaya.
Usaha memperluaskan pelaksanaan Program KALIS juga akan diteliti untuk dibawa ke sekolah-sekolah di kawasan pedalaman supaya lebih ramai murid dapat menikmati manfaat selaras aspirasi Kerajaan Negeri dalam membangunkan modal insan berkualiti dan berpendidikan.
Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir mengajar murid Program KALIS sempena Minggu TFM 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Cendana, Pasir Gudang, hari ini.
#PendidikanBerkualiti
#TeachForMalaysia
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor