120 HEKTAR KAWASAN TERJEJAS KEBAKARAN DI PUNGGAI BERJAYA DIKAWAL

Operasi pemadaman kebakaran hutan di belakang PPR Pengerang terus dipergiat, dengan 120 hektar berjaya dikawal dan baki 30 hektar masih dalam tindakan. | Foto BBP Punggai
#IskandarPuteri – Operasi pemadaman kebakaran hutan belukar yang berlaku di belakang kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pengerang terus dipergiatkan secara bersepadu berikutan insiden kebakaran yang telah merebak kira-kira 150 hektar kawasan berkenaan sejak beberapa hari lalu.
Setakat jam 1.00 tengah hari tadi, sebanyak 120 hektar kawasan yang terjejas berjaya dikawal manakala baki 30 hektar lagi masih dalam usaha pemadaman yang masih giat dijalankan.
Operasi ini melibatkan seramai 42 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, Sungai Rengit, Sebana Cove serta Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor.
Usaha pemadaman turut disokong Unit Dron Zon 3 serta pelbagai agensi lain termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM); Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA).
Pasukan JBPM juga turut melaksanakan strategi pemadaman melalui kaedah “direct attack” dan “total flooding” selain pembinaan laluan pemisah api bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan berhampiran.
Di kawasan berhampiran lebuh raya pula, anggota skuad pemadaman menggunakan aliran hos sepanjang 1,200 kaki bersama pam air berkuasa tinggi untuk mengekang api dari merebak secara langsung.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menutup laluan Lebuhraya Bypass Punggai ke arah Sebana Cove sebagai langkah keselamatan susulan situasi asap tebal yang menjejaskan jarak penglihatan.
Walaupun berdepan cuaca panas, kering serta tiupan angin kuat, operasi terus dipergiatkan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan kebakaran serta mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
#JohorSafeZone
#KebakaranPunggai
#CuacaPanas
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


