14,408 PENGHUNI PPR, RSK TERIMA BANTUAN KASIH JOHOR

Seramai 14,408 penerima termasuk penghuni PPR dan Rumah Sewa Kerajaan menerima Bantuan Kasih Johor RM200 secara one-off dengan peruntukan keseluruhan RM2.88 juta. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor
#IskandarPuteri – Seramai 14,408 penerima terdiri daripada 11,182 penghuni Program Perumahan Rakyat (PPR) dan 3,226 penghuni Rumah Sewa Kerajaan menerima Bantuan Kasih Johor berjumlah RM200 secara ‘one-off’ melibatkan peruntukan RM2.88 juta.
Bantuan yang diagihkan secara berperingkat sehingga 20 Oktober itu merupakan inisiatif tambahan diumumkan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat di negeri ini.
Penyerahan Bantuan Kasih Johor kepada peserta PPR dan RSK bermula dengan penghuni PPR Melana Indah 1 dan PPR Melana Indah 2 melibatkan 2,600 penerima yang disampaikan oleh YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor di Dewan PPR Melana 2, semalam.
Menteri Besar Johor ketika Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Dewan Persidangan, Aras 2, Bangunan Temenggong Ibrahim, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pada 11 September lalu, mengumumkan 42 inisiatif tambahan dengan nilai peruntukan lebih RM209 juta melibatkan 1.9 juta penerima manfaat.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 25 inisiatif untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, manakala baki 17 inisiatif pula merangkumi peningkatan infrastruktur, pemerkasaan ekonomi dan kesejahteraan sosial yang menjadi bukti bahawa setiap pertambahan hasil negeri disalur serta dikembalikan terus kepada rakyat.
Untuk rekod, Johor berjaya mencatatkan pelaburan diluluskan berjumlah RM56 bilion dalam suku kedua tahun ini, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 6.4 peratus iaitu pertumbuhan tertinggi negara pada tahun lalu.
Selain itu, negeri ini juga telah melakar nilai hasil jualan pertanian tertinggi dengan RM27.2 bilion selain optimis merekodkan unjuran hasil sebanyak RM2.5 bilion, rekod tertinggi dalam sejarah Johor pada tahun ini.
#JohorSafeZone
#BantuanKasihJohor
#KasihJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor