JOHOR TUBUH JAWATANKUASA PERKASA ORANG KURANG UPAYA


YB Puan Hajah Khairin-Nisa Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2025) bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri mencadangkan penubuhan Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Johor (MTOJ) yang akan membantu merancang, memantau dan memberi cadangan untuk menambah baik serta memperkasa golongan berkenaan.

 

Gerak kerja penubuhan MTOJ kini di peringkat penelitian dan perincian yang turut melibatkan agensi di bawah portfolio Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor untuk direalisasikan secepat mungkin demi menjaga kebajikan dan kesejahteraan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

 

MTOJ akan menjadi platform dalam meningkatkan pemberdayaan OKU dan meningkatkan aksesibiliti golongan berkenaan bagi membolehkan mereka
menerima peluang pendidikan, pekerjaan dan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik di dalam usaha meningkatkan pemberdayaan mereka.

 

Inisiatif berkenaan secara tidak langsung menterjemah sokongan dan keprihatinan Kerajaan Negeri yang sentiasa mengiktiraf golongan OKU yang turut bersama memainkan peranan signifikan dalam memacu arus pembangunan, sekali gus menjadikan Johor negeri mesra golongan berkenaan.

 

Perkara itu dimaklumkan YB Puan Hajah Khairin-Nisa Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor di dalam ucapan penggulungannya ketika Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2025) bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor