28,000 PELAJAR PEREMPUAN TERIMA MANFAAT PROGRAM PEMBERIAN KIT SERI
ISKANDAR PUTERI — Seramai 28,000 pelajar perempuan di Negeri Johor, menerima manfaat daripada Program Pemberian Kit SERI sehingga November lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, inisiatif itu melibatkan dua program utama.
“Pertama, pemberian bekalan kit SERI secara berkala selama 12 bulan. Kedua, pelaksanaan program Pendidikan SERI oleh LPPKN Negeri Johor,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.
Mengulas lanjut, Khairin-Nisa berkata, program pemberian bekalan kit SERI secara berkala itu melibatkan 134 sekolah dengan jumlah penerima 15,000 perempuan di negeri ini.
Ujarnya, pelaksanaan program Pendidikan SERI dalam bentuk ceramah dan aktiviti interaktif mengenai kesihatan reproduktif remaja serta aspek pengurusan kebersihan haid pula telah melibatkan 2,000 pelajar perempuan dari 20 sekolah menengah di Johor.
Beliau memberitahu kerajaan negeri melalui LPPKN Negeri Johor menyambut baik usaha Kerajaan Persekutuan mengatasi isu kemiskinan haid menerusi program pemberian kit kebersihan asas wanita itu.
“Program pemberian kit asas wanita ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada 10 peratus daripada golongan ini dalam menangani kemiskinan haid di Malaysia.
“Disamping itu, program ini juga bertujuan memperkasakan wanita dan remaja perempuan berkenaan menstruasi disamping menyebar luas pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial kepada kumpulan sasar remaja dalam komuniti bandar dan luar bandar,” katanya.
Selain itu, ujarnya, LPPKN juga mengambil inisiatif melaksanakan Program Pemberian Kit SERI Tuala Wanita Guna Semula kepada remaja perempuan dalam kalangan B40 di seluruh negara.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor