30 PENGANTIN DIRAIKAN DALAM WALIMATUL URUS PERDANA PERINGKAT NEGERI JOHOR

SS YB Dato’ Haji Ahmad Faizal Mohamed, Timbalan Mufti Johor merasmikan Majlis Walimatul Urus Perdana Peringkat Negeri Johor di Pusat Konvensyen Danga Bay. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#JohorBahru – Rezeki berganda buat 30 pasangan pengantin apabila mereka diraikan dalam Majlis Walimatul Urus Perdana Peringkat Negeri Johor 2025 anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sebagai usaha memperkukuh institusi kekeluargaan dan membantu pasangan muda untuk mendirikan rumah tangga.
Bagi pelaksanaan tahun 2025, Kerajaan Johor telah memperuntukkan sebanyak RM600,000 kepada JAINJ untuk menjayakan program ini yang memberi manfaat kepada 100 pasangan pengantin di seluruh Negeri Johor, dengan baki 30 pasangan diraikan pada majlis kemuncak peringkat negeri yang berlangsung pada hari ini.
Program yang telah dilaksanakan sejak tahun 2017 ini menjadi antara inisiatif Kerajaan Negeri dalam menggalakkan perkahwinan berasaskan nilai Islam, di samping membantu mengurangkan beban kewangan perkahwinan kepada pasangan muda serta pada masa sama, menolak budaya pembaziran.
Sebelum mereka diraikan pada hari ini, kesemua pasangan pengantin berkenaan telah mengikuti kursus pra-perkahwinan bagi membekalkan ilmu dan panduan dalam membina rumah tangga yang harmoni berlandaskan syariat Islam.
Inisiatif yang diadakan bersempena sambutan 100 tahun penubuhan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) ini juga jelas mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat melalui pembinaan keluarga yang sakinah dan sejahtera.
Terdahulu, SS YB Dato’ Haji Ahmad Faizal Mohamed, Timbalan Mufti Johor selaku wakil rasmi YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor hadir merasmikan Majlis Walimatul Urus Perdana Peringkat Negeri Johor di Pusat Konvensyen Danga Bay, hari ini.
#JohorSafeZone
#WalimatulUrusPerdana
#JAINJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



