42 PERATUS KEBAKARAN HUTAN PUNGGAI DIPADAMKAN, OPERASI TERUS DIPERGIAT

Operasi pemadaman kebakaran hutan belukar di laluan Desaru-Pengerang memasuki hari keempat dengan 42 peratus kawasan terjejas berjaya dipadamkan. | Foto BBP Punggai
#IskandarPuteri – Operasi pemadaman kebakaran hutan belukar di laluan dekat kawasan Lebuhraya Desaru-Pengerang menghala ke Sebana Cove kini memasuki hari keempat dengan perkembangan positif apabila 42 peratus kawasan terjejas berjaya dipadamkan.
Kebakaran yang dilaporkan berlaku pada jam 5.15 petang, 21 Mac lalu ditangani pantas oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai dengan jentera pertama tiba di lokasi dalam tempoh tujuh minit, sekali gus membolehkan tindakan segera diambil bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak.
Operasi pemadaman yang diketuai oleh Komander Operasi, PBK I Alvinni Jackson dilaksanakan secara bersepadu melibatkan anggota bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta YPJ Plantations Sdn. Bhd bagi memastikan setiap tindakan di lapangan diselaras dengan cekap dan berkesan.
Daripada anggaran keseluruhan 150 hektar kawasan terjejas, sebanyak 63 hektar telah berjaya dipadamkan setakat ini melalui operasi berterusan yang dilaksanakan di kedua-dua bahagian lokasi kebakaran dengan menggunakan kaedah ‘direct attack’ serta sumber air berhampiran.
Walaupun berdepan dengan cabaran cuaca panas, kering dan tiupan yang angin kuat menyebabkan api masih marak serta menghasilkan asap tebal hingga menjejaskan jarak penglihatan hingga memerlukan operasi pemadaman terus dipergiat dari semasa ke semasa.
Sebagai langkah keselamatan, pihak PDRM telah menutup sementara laluan di kawasan terjejas bagi mengelakkan risiko kepada pengguna jalan raya, selain memberi ruang kepada pasukan penyelamat menjalankan operasi dengan lebih lancar.
Justeru, orang ramai diminta agar terus bertenang, mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan tidak menghampiri kawasan kebakaran demi keselamatan semua pihak.
Kerajaan Johor juga melalui agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan semasa serta memastikan segala tindakan diambil secara menyeluruh dan berkesan.
#JohorSafeZone
#KebakaranPunggai
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


