42 PROJEK PUSAT DATA DILULUSKAN BUKTI PELABUR YAKIN POTENSI JOHOR

Pusat data AirTrunk JHB1. | Foto AirTrunk 

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri telah meluluskan sebanyak 42 projek pembinaan pusat data sehingga suku kedua tahun 2025, yang mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap daya saing Johor sebagai destinasi pelaburan digital utama di rantau ini.

 

Pusat data menjadi nadi baharu kepada pertumbuhan ekonomi digital dan tulang belakang Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Pelan Digital Johor serta transformasi ke arah industri berteraskan teknologi tinggi selain membawa limpahan manfaat kepada negeri dan rakyat.

 

Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan khas terhadap penempatan pusat data di kawasan industri terancang seperti Ibrahim Technopolis (IBTEC) Kulai, kawasan industri Sedenak dan zon industri Pasir Gudang yang memiliki kelebihan strategik dari segi infrastruktur serta pematuhan guna tanah.

 

Johor juga menawarkan keluasan tanah industri berstatus terancang untuk pusat data yang sangat mencukupi iaitu berjumlah 7,618 ekar termasuk kawasan di bawah Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan IBTEC di bawah Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), setakat ini.

 

Selain itu, Johor kini mendahului seluruh negara sebagai peneraju pelaburan pusat data dan mula mengguna pakai teknologi bertaraf Tier 4 termasuk sistem penyejukan ‘air cooler’ yang menjimatkan air serta teknologi rawatan semula air Indah Water Konsortium (IWK) melalui kerjasama Johor Special Water (JSW).

 

Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan mempengerusi Mesyuarat Taskforce Pembangunan Pusat Data Negeri Johor Bil. 2/2025 secara bersama dengan YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor serta YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor.

 

#PusatDataJohor
#DigitalJohor
#EkonomiDigital
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor