5,000 AHLI SV MILIKI SIJIL LATIHAN PENGURUSAN BENCANA


Ucapan penggulungan YB Tuan Mohd Hairi Md Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2025) bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor akan terus memperkasa peranan skuad sukarelawan Southern Volunteers (SV) dalam usaha membantu mangsa banjir serta gerak kerja pasca bencana tersebut melalui kerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Johor.

 

Sehingga kini, seramai 5,000 ahli SV telah berjaya memiliki sijil latihan pengurusan bencana menerusi empat siri latihan persediaan yang telah dilaksanakan bersama APM menerusi peruntukan RM200,000 yang disediakan Kerajaan Negeri di dalam Belanjawan Johor 2024 yang lalu.

 

Badan sukarelawan yang dinaungi DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor juga telah diperluaskan kepada enam kluster membabitkan SV Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta; SV Skuad Muda Sekolah; SV Pihak Berkuasa Tempatan; SV Agensi Kerajaan; SV Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung serta SV Umum.

 

Selain itu, Kerajaan Negeri turut mempertimbangkan cadangan bagi mewujudkan Penyelaras SV di 56 kawasan Dewan Negeri Johor selain membuat penelitian awal untuk menjadikan SV sebagai sebuah yayasan sekiranya bersesuaian dengan misi dan visi penubuhan badan sukarelawan tersebut.

 

Terdahulu, YB Tuan Mohd Hairi Md Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor menyampaikan ucapan penggulungan ketika Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2025) bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor